Ketangkasan serta kekentalan legenda hidup penjaga gol Jerman dan Bayern Munich, Oliver Kahn sememangnya tidak boleh disangkal lagi.
Dengan riak wajah cukup bengis sehingga beliau digelar ‘Gorilla Albino’ sudah pasti menghadirkan rasa gerun buat para pemain khususnya penyerang pasukan lawan yang dihadapinya.
Kahn yang akan menjengah usia 50 tahun pada bulan Jun ini merupakan anak kelahiran Karlsruhe, sebuah bandar di barat daya Jerman.
Dalam merintis langkah menjadi seorang pemain profesional hebat, beliau mula berjinak dalam bola sepak sejak usia enam tahun.
Zaman remaja bersama Karlsruher SC
Kahn menyertai skuad remaja Karlsruher SC pada tahun 1975 dan beliau bukanlah seorang penjaga gol pada awal pembabitannya dalam bola sepak.
Selepas melihat potensi besar dalam dirinya sebagai penjaga gol, Kahn terus serius memantapkan diri di posisi barunya itu.
Musim 1987/88 menjadi titik tolak buat Kahn selepas beliau menandatangani kontrak profesional pertama bersama Karlsruher SC yang ketika itu beraksi dalam saingan Bundesliga.
Aksi pertama beliau dalam Bundesliga (27 November 1987) adalah pertemuan menentang FC Koln yang menyaksikan Kahn dibolosi empat gol manakala perlawanan berikutnya dua gol lagi dilepaskan ketika bertemu Werder Bremen.
Selepas dua musim hanya menjadi ‘pembantu’ kepada penjaga gol utama, Alexander Famulla, Kahn akhirnya mendapat kepercayaan untuk mengemudi gawang Karlsruher SC.
Aksi cemerlang curi perhatian Bayern Munich
Persembahan cemerlangnya membantu Karlsruher SC konsisten dalam saingan liga serta melayakkan diri ke peringkat separuh akhir Piala UEFA musim 1993/94 telah berjaya menarik minat gergasi Jerman, Bayern Munich.
Bayern Munich menjalankan kerja dengan pantas apabila membawa Kahn ke kelab Bavaria itu bagi menggantikan penjaga gol terdahulu, Raimond Aumann dengan nilai €2.5 juta.
Nilai tersebut menjadikannya sebagai penjaga gol termahal pada ketika itu.
Bayern Munich pilihan tepat
Ternyata keputusan yang diambil Oliver Kahn untuk ke Bayern Munich merupakan langkah tepat buat kariernya.
Kahn menjadi pilihan utama pengurus Bayern, Giovanni Trapattoni pada musim sulungnya di Munich walaupun mengalami kecederaan pada pertengahan liga yang memaksa beliau diketepikan buat seketika.
Musim berikutnya (1995/96), beliau tidak lagi memandang ke belakang setelah berjaya membantu Bayern Munich mengecapi kejayaan Piala UEFA menumpaskan wakil Perancis, Bordeaux serta menduduki tangga kedua Bundesliga.
Setahun kemudian, trofi Bundesliga pula berada dalam genggaman Oliver Kahn dan Bayern Munich.
Selepas 14 tahun menabur bakti buat Bayern Munich, Oliver Kahn berjaya menjadi sebahagian daripada sejarah unggul kelab tersebut dan akan dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Bayern Munich beberapa tahun lagi.
Beliau berjaya menghadiahkan satu trofi Liga Juara-Juara Eropah (UCL), satu gelaran Piala UEFA, lapan kejuaraan Bundesliga dan enam mahkota DFB Pokal.
Kahn mengumumkan persaraannya daripada bola sepak pada Mei 2008 dan kemenangan 4-1 menentang Hertha Berlin di laman sendiri merupakan aksi terakhir buat beliau.
Penentuan juara UCL 2000/01 terpahat di minda
Perlawanan akhir yang berlangsung di San Siro itu nyata mendebarkan apabila pemenang terpaksa ditentukan menerusi sepakan penalti.
Aksi 120 minit permainan terikat dengan keputusan 1-1 menerusi jaringan sepakan penalti oleh Stefan Effenberg dan Gaizka Mendieta.
Oliver Kahn memainkan peranan cukup penting pada malam bersejarah buat dirinya itu apabila berjaya menafikan sepakan penalti yang diambil Zlatko Zahovic, Amedeo Carboni dan Mauricio Pellegrino sekalius menghadiahkan kejuaraan keempat buat Bayern Munich pada ketika itu.
Warna-warni pentas antarabangsa (Jerman)
Kahn turut menganggotai skuad kebangsaan Jerman pada kempen Piala Dunia 1994 di Amerika Syarikat sebagai penjaga gol ketiga dibelakang Bodo Illgner dan Andreas Köpke.
Penampilan pertamanya di pentas antarabangsa adalah pada 23 Jun 1995 sewaktu perlawanan persabahatan yang menyaksikan Jerman berjaya menundukkan Switzerland 2-1.
Ketika Jerman menjuarai UEFA EURO 1996 di England, Kahn turut bersama pasukan, namun beliau merupakan pilihan kedua Berti Vogts yang meletakkan Köpke sebagai penjaga gol utama.
Kahn masih lagi belum mampu untuk merampas tempat selaku penjaga gol utama dalam saingan Piala Dunia 1998 di Perancis apabila Köpke terus menggalas tanggungjawab tersebut.
Persaraan Köpke selepas Piala Dunia 1998 akhirnya membuka ruang buat Kahn bagi mengisi kekosongan tersebut.
Saingan kelayakan Piala Dunia 2002 menjelmakan episod kurang enak dalam karier antarabangsa Kahn apabila Jerman dibelasah 1-5 di Olympiastadion, Munich ketika menentang England.
Keputusan itu begitu pedih buat Kahn kerana beliau juga bertindak selaku ketua pasukan pada perlawanan tersebut.
Kekecewaan itu segera dilupakan dan Jerman cemerlang dalam kempen Piala Dunia 2002 di Korea Selatang dan Jepun setelah berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir bagi menempah pertemuan menentang Brazil.
Kahn yang begitu cemerlang hanya dibolosi satu gol dari peringkat kumpulan sehingga aksi separuh akhir, kecewa di final apabila dibolosi dua gol diledakkan Ronaldo pada perlawanan akhir untuk kemenangan 2-0 memihak Brazil.
Kerana kecemerlangannya di Korea dan Jepun itu, Kahn telah dinobatkan selaku pemenang Golden Ball, pertama kali dimenangi oleh penjaga gol dan turut memenangi anugerah Lev Yashin.
Beliau mengumumkan persaraan di pentas antarabangsa pada tahun 2006 selepas Jerman menamatkan saingan Piala Dunia 2006 di tempat ketiga.
Walaupun terpalit dengan beberapa kontroversi, Kahn tetap diangkat sebagai legenda yang cukup dihormati.