Quantcast

BERITA

Sulaiman Hussin Sedia Beri Peluang Buat Helmi Hariri Berkhidmat Untuk UKM FC

Ketua jurulatih UKM FC, Sulaiman Hussin sedia memberi peluang kepada bekas pemainnya, Helmi Hariri Ibrahim yang kini berkerusi roda akibat lumpuh pada Disember 2017 untuk terus berbakti bersama pasukan dalam barisan kejurulatihan kecergasan.

Hasrat itu disuarakan Sulaiman bagi mengenang jasa pemain itu yang kini tidak mampu lagi beraksi selepas lumpuh akibat kecederaan tulang belakang.

Helmi antara watak utama pasukan yang berjaya membawa UKM FC layak beraksi di Liga Perdana pada musim lepas di mana perlawanan terakhirnya bersama pasukan adalah ketika final Piala FAM menentang Sime Darby, dua tahun lalu.

Jelas Sulaiman, dia percaya pemain berusi 24 tahun itu tetap mampu curahkan pengalaman dan pengetahuannya dalam bola sepak jika diberikan ruang selaku jurulatih kecergasan walaupun kini terpaksa melupakan karier sebagai pemain bola sepak.

“Saya begitu senang hati untuk beri ruang kepada Helmi berkhidmat bersama pasukan walaupun bukan sebagai pemain, tetapi mungkin boleh membantu di peringkat teknikal UKM FC.

“Saya mahu dia belajar daripada bawah dengan usianya yang masih muda, saya percaya tidak mustahil dia juga mampu menjadi pembantu kepada pelatih kecergasan satu hari nanti.

“Paling penting, saya tidak mahu Helmi terus melupakan sukan bola sepak begitu sahaja walaupun kini berkerusi roda kerana kami di UKM FC tetap hargai sumbangannya selama ini”, katanya.

Helmi Hariri merupakan adik kepada bekas pemain Harimau Muda yang kini beraksi bersama Kedah iaitu Syahrul Azwari.

Sulaiman ketika ini sedang mengikuti kursus lesen pro di Kuala Lumpur bersama beberapa jurulatih lain dan tidak akan bersama pasukan sehingga 17 April ini.

Namun begitu, dia tetap percayakan barisan kejurulatihan lain untuk mengemudi pasukan bagi berdepan Selangor United, Sabtu depan seterusnya aksi pusingan ketiga Shopee Piala FA menentang juara bertahan, Pahang minggu hadapan.

“Saya yakin barisan kejurulatihan akan jalankan tanggungjawab sehabis baik membimbing pasukan walaupun ketiadaan saya.

“Sememangnya perlawanan pusingan ketiga Piala FA begitu penting kerana menentang juara bertahan , Pahang dan kalau boleh, saya mahu bersama pemain untuk merangka strategi berdepan lawan hebat seperti mereka.

“Namun, pemain sendiri sudah tahu apa yang perlu dilakukan apabila berdepan pasukan lebih kuat dan tidak mustahil mampu lakar kejutan”, katanya.