Di dalam perlawanan besar seperti berhadapan Liverpool minggu lalu serta beberapa lawan yang lain, taktikal Jose Mourinho sering dianggap ‘masterclass’ bila main secara defensif.
Kadangkala, label itu diterima ramai orang kecuali beberapa penyokong United yang gemarkan bola sepak menyerang. Mereka hanya menghargai kemenangan tetapi bukan taktikal.
Namun untuk beberapa perlawanan yang dianggap menentang lawan lebih kecil, boleh menang (winnable), kerap juga Mourinho ambil pendekatan bertahan terutama sekali selepas mendahului. Ini sudah pastinya tidak ‘masterclass’. Apatah lagi kalau tewas.
Ironi, Mourinho pernah berkata Frank de Boer mengajar pemain untuk kalah, dia ajar Rashford untuk menang. Jika dilihat, dari konteks bola sepak, De Boer mengambil risiko untuk menang. Mourinho pula hanya sit deep dan bertahan untuk mengecewakan lawan dan melakukan serangan balas.
Apakah pula alasan Jose Mourinho kepada kekalahan Manchester United kali ini?
UEFA Champions League bukan keutamaan?
Atau benarkah ia kekalahan yang mengejutkan? Cabaran Sevilla tidak boleh diibaratkan seperti serang hendap di medan peperangan.
Apatah lagi setelah kedua-dua pasukan mencatat keputusan seri 0-0 di pusingan pertama; lantas tiada alasan selain kemenangan sebagai output terbaik bagi pasukan dengan status seperti Manchester United di Old Trafford.
Oleh itu, sepatutnya Mourinho mengamalkan corak permainan menyerang untuk mendapatkan gol yang diperlukan; juga pemain yang sesuai di posisi yang boleh digunakan untuk mengeksploitasi lawan.
Amat sukar untuk bertanggapan Mourinho tersilap percaturan ketika menentang Sevilla, setelah berhadapan lawan yang sama dua minggu sebelum itu.
Juga perkara yang menyedihkan jika UEFA Champions League bukan sasaran utama pengendali dari Portugal ini.
Sevilla bukan Barcelona atau Real Madrid
Jika anda menyaksikan siaran secara langsung di kaca televisyen pada awal pagi tadi, anda pasti mendengar bagaimana penganalisa perlawanan menghamburkan pujian kepada Sevilla.
Tanpa mengambil kredit daripada kemenangan Sevilla, mari kita lihat sisi yang lebih jujur. Sevilla bukan pasukan yang hebat. Sevilla buka Barcelona, dan Sevilla bukan Real Madrid.
Sepanjang kempen musim ini, pasukan ini telah dibolosi lima gol dalam lima perlawanan. Tetapi corak permainan yang diperagakan oleh Mourinho dan anak buahnya pada awal pagi tadi seperti mereka sedang berhadapan dengan barisan Ernesto Valverde dan Zinedine Zidane.
Perancangan Vincenzo Montella amat mudah. Masukkan seorang penyerang yang mampu menjaringkan gol, dan menjelang 90 minit perlawanan, kemenangan itu berada di dalam tangan.
Dalam perlawanan malam tadi, Ben Yedder hanya memerlukan 18 minit aksi di atas padang, menjaringkan gol melalui empat percubaan hanya di dalam tempoh tersebut.
Adakah Ben Yedder sehebat Lionel Messi atau Cristiano Ronaldo? Mungkin bagi Jose Mourinho.
Bola sepak moden ‘anti-Barcelona’
Kami pernah menerima pertanyaan daripada pembaca kami. Adakah Jose Mourinho seorang jurulatih yang menerapkan taktikal bola sepak moden?
Jawapan kami ialah ya. Malah Mourinho merupakan jurulatih awal yang menerapkan bola sepak moden di dalam bola sepak Inggeris, dengan formasi 4-2-3-1 ketika mulamenyertai Chelsea pada 2004.
Disingkirkan daripada Barcelona beberapa tahun sebelum itu, dan langsung tidak dipandang ketika Pep Guardiola dilantik sebagai pengurus kelab Catalan tersebut pada 2008, Mourinho adalah jurulatih moden yang falsafahnya bagaikan ‘anti-Barcelona’.
Kami akan sentuh perihal ini dalam artikel lain pada masa hadapan.
Untuk menganggap perlawanan menentang Sevilla sebagai ‘off day’; atau hari di mana semua tidak kena, juga bukan alasan yang wajar untuk tewas.
Kekalahan ini boleh diibaratkan simbol kemeruduman prestasi United era Mourinho dan boleh disimpulkan bermula ketika Zlatan Ibrahimovic bukan lagi ayam tambatan menjelang pengakhiran musim lalu akibat kecederaan.
Isu keseluruhan pada musim ini ialah prestasi bahagian depan jentera serangan United dan kebergantungan kepada prestasi Eric Bailly dan David de Gea ketika perlawanan.
Untuk bergantung harap kepada kebolehan individu di bahagian pertahanan untuk memenangi perlawanan, kebiasaanya ia akan berakhir dengan malapetaka. Kita semua tahu bagaimana kualiti De Gea.
Bailly beraksi cemerlang sepanjang perlawanan, sehinggalah Ben Yader memanipulasi keletihan yang dialami pemain tersebut.
Malah ketika Bailly seperti memperagakan keajaiban dengan prestasi cemerlang beliau, Sevilla memiliki 21 percubaan.
Jumlah tersebut adalah percubaan terbanyak oleh mana-mana pasukan pernah lakukan di Old Trafford sejak beberapa musim lalu.
Bola sepak moden berpaksikan falsafah bola sepak bertahan? Anda harus menjaringkan gol untuk memenangi perlawanan.
Ralat Taktikal- Jentera tengah
Setelah cemerlang dengan formasi 4-2-3-1 ketika menewaskan Liverpool, maka ia adalah relevan untuk Mourinho mengekalkan formasi sama untuk Sevilla.
Satu perkara yang mungkin tidak dititikberat oleh Mourinho; atau tiada kajian dilakukan sebelum perlawanan ialah Sevilla memiliki pemain kreatif di jentera tengah pasukan.
Jika dibandingkan trio Liverpool seperti Alex Oxlade-Chamberlain, Emre Can dan James Milner; ini adalah pemain yang mempunyai ‘work rate’ yang tinggi; tetapi kreativiti disandarkan kepada gandingan tiga pemain penyerang.
Ever Benega dan Steven N’Zonzi mempunyai kreativiti yang lebih baik daripada tiga pemain tengah Liverpool disebut di atas. Apa yang berlaku ialah Nemanja Matic dan Marouane Fellaini ‘outnumbered’ di bahagian tengah kerana kecenderungan Tucu Correa dan Mudo Vazquez berada di garisan rendah untuk membantu jentera tengah.
Untuk menambah masalah kepada jentera tengah United, kecenderunga Fellaini untuk berada di bahagian tengah serangan, bermakna Matic keseorangan untuk berhadapan dengan Benega dan rakan-rakan.
Kemudian, Mourinho memasukkan Paul Pogba yang kurang cergas. Sukar untuk menganalisa sama ada keadaan semakin teruk atau tidak selepas itu kerana taktikal Mourinho sudah mempunyai ralat sejak di awal perlawanan.
Aksi keseluruhan perlawanan menyaksikan United bergelut mengawal perlawanan dari bahagian tengah. Dan Mourinho berterusan untuk mengekalkan dua pemain tengah di posisi tesebut.
Ralat taktikal- Serangan
Ralat taktikal oleh Jose Mourinho di dalam perlawanan ini amat ketara. Mari kita lihat isu di bahagian serangan.
Hujung minggu lalu, Marcus Rashford memusnahkan Liverpool daripada sebelah kiri. Dalam perlawanan ini, penyerang England ini beraksi dari sebelah kanan serangan.
Rashford adalah pemain yang mempunyai skil dan kebijaksanaan untuk mencari ruang untuk melepaskan rembatan deras.
Walaupun beraksi di sebelah kanan, sukar untuk pemain ini menghasilkan output yang serupa setelah beraksi kebanyakkan perlawanan dari sebelah kiri pada musim lalu.
Jika ada perkara positif mengenai skuad United dalam perlawanan ini, ia ialah prestasi Romelu Lukaku.
Sepanjang perlawanan, Lukaku sentiasa menerima hantaran yang kurang tepat, dan dari sudut sukar. Beliau juga tidak mendapat sokongan yang sepatutnya daripada bahagian tengah.
Di sebalik kesukaran itu, Lukaku berjaya mencipta peluang untuk dirinya dalam sistem yang dia ‘sendirian’ di hadapan. Taktikal jelas Mourinho adalah bola tinggi, banyak bola terus ke Fellaini dan Lukaku.
Pemain ini berjaya mempertahankan bola daripada pertahanan lawan, membuka ruang untuk dirinya, sebelum menyerang ruang dan peluang yang dicipta.
Ini menjelaskan bagaimana data Opta di atas mencatatkan Lukaku berjaya menggelecek lawan sebanyak lima kali sepanjang perlawanan.
Jika tidak kerana kecemerlangan Clement Lenglet, siapa tahu Lukaku mampu membawa United bangkit menewaskan Sevilla.
Penutup
Apabila kalah dalam perlawanan yang dianggap ‘winnable’, ini bermakna tiada lagi istilah ‘masterclass’.
Kekalahan seperti ini bukan kali pertama terjadi untuk United. Jika anda sedar, pada separuh masa kedua penyokong di Old Trafford naik bosan dan menjerit ‘attack’ ‘attack’ ‘attack’.
This is the team that José Mourinho was scared to attack. 🤔 pic.twitter.com/seDqyJUq8i
— EPL Bible (@EPLBible) March 13, 2018
Penyokong Manchester United yang sebenar tidak akan bertoleransi dengan kekalahan sebegini. Mungkin bagi generasi hari ini taktikal bertahan ini diterima asalkan menang.
Tetapi untuk penyokong United yang sudah menikmati empayar yang dibina Sir Matt Busby dan Sir Alex Ferguson, tiada kamus parkir bas dalam jiwa United.
Kita sepatutnya menjadi pasukan yang membuli/menyerang bukannya dibuli/bertahan. Itu yang ditegaskan ramai legenda kelas ’92.
Jiran di sebelah berbelanja besar dengan pengurus yang mengerah idea untuk membentuk bola sepak moden dan bola sepak menyerang serta bertahan dengan high pressing untuk tatapan umum. Menang dengan cara yang sangat cantik.