Ikon Arsenal yang merupakan sebahagian daripada skuad ‘The Invincibles’ menjuarai Liga Perdana Inggeris (EPL) tanpa sebarang kekalahan pada musim 2003/04, Nwankwo Kanu menyifatkan The Gunners memerlukan keajaiban untuk meraih kejuaraan EPL musim ini.
Selepas daripada kejayaan tersebut, Arsenal nyata terlalu dahagakan kejuaraan liga yang saban musim hanya mampu melihat kejayaan pasukan lain.
Musim lalu menyaksikan Arsenal sekadar menamatkan saingan di tempat ke-6, musim terakhir buat Arsene Wenger selepas 22 tahun ‘menghambakan’ diri di kelab London tersebut.
Unai Emery dibawa masuk untuk mengubah lanskap dalam perjalanan pasukan setelah sekian lama berada di bawah tampuk ‘pemerintahan’ Wenger.
Bagi Kanu yang bercakap kepada Sky Sports, beliau mengharapkan agar Emery diberikan ruang dan peluang untuk menggunakan pendekatannya dalam membimbing Arsenal.
”Kita perlu memberikan dia (Unai Emery) masa untuk membawa gayanya sendiri dan cara permainan yang dimahukannya.”
”Ia akan mengambil masa untuk pendatang baru, rekrut terbaharu untuk menyesuaikan diri tetapi jika ia menjadi dan mereka menjuarai liga, itu adalah keajaiban.”
”Saya mengharapkan itu yang akan berlaku.”
”Untuk seorang pengurus baharu, ia akan menjadi satu cabaran yang besar. Para penyokong mahukan mereka (Arsenal) cemerlang dalam saingan liga pada tahun pertamanya, di mana akan sentiasa sukar buat mana-mana jurulatih baharu.”
”Berada di kelab besar yang memerlukan trofi, jadi jika anda tidak memenangi liga, anda perlu memenangi trofi yang lain.”
Arsenal akan membuka saingan EPL musim ini dengan bertemu juara bertahan, Manchester City pada 12 Ogos di laman sendiri.