Pahang Kemukakan Rayuan Kepada MFL Benarkan Sumareh Didaftar Sebagai Pemain Tempatan

Laporan media tempatan, Berita Harian semalam mengesahkan Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) sudah membuat rayuan kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) bagi tonggak import mereka, Mohamadou Sumareh didaftarkan sebagai pemain tempatan dalam saingan Liga Malaysia.

Perkara itu turut disahkan oleh Pengurus Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, Sumareh berhak didaftarkan sebagai pemain tempatan memandangkan beliau bakal bermain untuk Harimau Malaya sebagai pemain naturalisasi.

“Sebagai rakyat Malaysia, sumbangan Sumareh sebagai pemain tempatan tidak boleh dinafikan terutama bermain dengan Pahang mahupun skuad Harimau Malaysia.

“Tetapi, kita akui dengan kriteria dan peraturan yang ditetapkan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) berhubung status pemain yang berasal dari luar negara bagi membolehkan Sumareh beraksi sebagai pemain tempatan.

“Sebab itu kita membuat rayuan apabila Sumareh mendapat taraf kerakyatan Malaysia,” katanya.

Sumareh / kredit foto: Asiana.my

Semalam, Berita Harian melaporkan Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam menjelaskan pemain yang bukan berdarah kacukan perlu memegang kerakyatannya untuk tempoh selama lima tahun sebelum boleh didaftarkan sebagai pemain tempatan dalam pasukan itu.

“Kita sudah keluarkan peraturan dan membuat pengumuman mengenai kelayakan dan kriteria yang diperlukan untuk seseorang pemain itu didaftarkan sebagai pemain tempatan sebelum ini dan ini bukanlah satu peraturan yang baharu.

“Apapun, jika ada cadangan atau rayuan untuk mengkaji semula kriteria ini, sekretariat boleh membawa perkara ini untuk dibentangkan kepada Lembaga MFL sebelum mereka membuat apa apa keputusan mengenainya,” kata Kevin.

Dia juga sudah menetap di Malaysia sejak berusia 13 tahun dan memulakan karier bola sepak profesional empat tahun kemudian.

Leave a Reply