Nurul Ain Izzaty: Kekuatan Mental Aspek Penting Adili Aksi Liga Malaysia

Nurul Ain

Pengadil wanita kebangsaan, Nurul Ain Izatty Zainal menyifatkan kekuatan mental menjadi aspek paling penting untuk mengadili perlawanan khususnya membabitkan pasukan lelaki dalam saingan Liga Malaysia bermula musim ini.

Jelasnya, peluang yang diberikan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak akan disia-siakannya untuk memperoleh pengalaman bermakna mengendalikan pasukan di peringkat CIMB Liga Super dan Liga Premier buat kali pertama dalam kariernya.

Ain yang pernah mengadili Piala Tun Sharifah Rodziah setiap tahun sebelum ini sedar ia bukanlah tugas yang mudah untuk membawa imej seorang wanita di tengah padang dalam sesuatu perlawanan besar yang disaksikan oleh beribu penyokong di mana suasana sebegitu cukup asing untuk dirinya.

“Sudah pasti ini adalah pengalaman yang sangat besar untuk kali pertama mengadili perlawanan dalam saingan Liga Malaysia dan tentunya saya akan buat yang sehabis baik untuk prestasi saya dan juga FAM.

“Walaupun sebelum ini pun saya pernah mengendalikan Piala Belia dan Piala Presiden melibatkan pasukan lelaki juga, tetapi suasana tidak sama dengan aksi CIMB Liga Super dan Liga Premier kerana tahap tekanan itu lebih tinggi.

“Jadi, saya kena pastikan persediaan yang terbaik khususnya daripada aspek mental kerana itu yang paling utama untuk tugas kali ini,” jelasnya.

Sementara itu, Nur Akmal Anuar selaku penolong pengadil bertekad ingin membuktikan kepada penyokong bahawa persepsi kurang enak yang diterima mereka sebelum ini adalah salah.

Justeru, beliau dan rakan-rakan akan memastikan tanggungjawab ini akan digalas sehabis mungkin bagi mengadili perlawanan dengan sebaiknya meskipun ia merupakan perkara yang baharu untuk mereka.

“Kami sendiri sedar kami membawa imej seorang wanita, jadi pada awalnya memang pelbagai respons dan kecaman juga yang diterima.

“Jadi, apa yang kami boleh buat adalah kena buat persediaan yang terbaik untuk membuktikan kami mampu melakukan tugas yang diberi itu.

“Sebelum ini, untuk saingan kelayakan Shopee Piala FA tahun lepas saya pernah buat, jadi tahun ini untuk CIMB Liga Super dan Liga Premier, saya akan cuba yang terbaiklah,” jelasnya.

Terdahulu, tiga pegawai perlawanan wanita telah dipilih oleh FAM untuk mengadili saingan Liga Malaysia iaitu Nurul Ain, Nur Akmal serta Pengadil Terbaik Wanita Asia 2014, Rita Ghani.

Leave a Reply