Bekas pemain skuad kebangsaan Portugal, Nuno Gomes mengakui Pep Guardiola merupakan individu yang bertanggungjawab dalam meningkatkan tahap dan prestasi pemain tengah Manchester City, Bernardo Silva.
Melihat potensi besar yang dimiliki pemain kelahiran Lisbon, Portugal ini membuatkan Pep Guardiola membawanya ke Etihad Stadium dari Monaco dengan yuran perpindahan dilaporkan bernilai £43.5 juta pada musim 2017/18.
Kehadirannya nyata memberikan sumbangan berkesan di jentera tengah The Cityzens sehingga menjadi tonggak dalam membawa kelab tersebut muncul juara Liga Perdana Inggeris buat dua musim berturut-turut.
Sehubungan dengan itu, Nuno Gomes melihat Guardiola telah membimbing Silva menjadikannya sebagai pemain lengkap dan berada di tahap yang berbeza.
”Bernardo, bagi saya pada ketika ini, merupakan salah seorang pemain terbaik yang kami miliki di Portugal.”
”Bersama Pep, dia menunjukkan peningkatan prestasi. Saya percaya yang mana Guardiola telah banyak kali mengatakan dia merupakan peminat setia Bernardo Silva.”
”Saya percaya bahawa Bernardo Silva, mengetahui jika dia memiliki kepercayaan dan keyakinan daripada jurulatih, dia akan terus beraksi dengan baik di padang dan bermain dengan semulajadi kerana dia mempunyai bakat yang semulajadi,” ujar Gomes menurut laporan Goal.
Sudah hampir tiga musim beraksi bersama Manchester City, Bernardo Silva telah membuat 143 penampilan dalam semua pertandingan yang disertai dan turut berjaya menjaringkan 29 gol.