Nota Pelan Taktikal Real Madrid Dedah Bagaimana Mereka Kalahkan Barcelona

Jika ini betul-betul merupakan nota pelan taktikal yang disediakan oleh Zinedine Zidane dan staf teknikalnya sebagai persiapan menghadapi El Clasico, ia bakal memberi kita perspektif paling hampir kepada perancangan taktikal pasukan.

Akhbar Sepanyol, AS melaporkan semalam bahawa mereka menerima sebuah pakej yang berisi beberapa nota tulisan tangan beberapa jam sebelum perlawanan El Clasico bermula.

Setelah diteliti, nota tersebut berisi maklumat pelan taktikal Real Madrid dan bagaimana mereka merancang untuk menghentikan ancaman serangan Barcelona.

nota taktikal madrid

Akhbar Sepanyol itu bagaimanapun gagal melakukan verifikasi untuk mengesahkan sama ada nota tersebut ditulis oleh pengurus Real Madrid, Zinedine Zidane.

Berdasarkan komen pembaca akhbar tersebut, kami mendapati ramai yang meragui nota tersebut disediakan oleh Zinedine Zidane. Ini kerana tatabahasa dan lenggok bahasa nota yang sempurna ini mencadangkan ia ditulis oleh orang Sepanyol yang asli.

Seorang pembaca memberitahu walaupun Zidane fasih berbahasa Sepanyol, amat jarang bagi seorang penutur bahasa Sepanyol dari Perancis yang mahir menggunakan bahasa pasar ‘ojo’ dan penanda wacana ‘que’ dalam tulisan.

Selain itu, ada juga pembaca yang mengatakan nota tersebut palsu kerana salah meletakkan posisi betul Ivan Rakitic dan Andres Iniesta (Rakitic sepatutnya bermain di tengah kanan, bukannya tengah kiri seperti yang ditulis dalam nota).

Tetapi ada juga pembaca yang yakin dengan keaslian nota tersebut walaupun ia bukan ditulis oleh Zidane. Mereka berhujah ia mungkin ditulis oleh staf teknikalnya.

Selain itu, nota tersebut juga ditulis di atas kertas yang mempunyai letterhead Real Madrid. Itu adalah petunjuk pertama yang memberi sedikit bukti keaslian nota tersebut datang dari staf teknikal Real Madrid.

Isi nota

Dalam nota tersebut, Real Madrid memberi perhatian istimewa kepada taktik high pressing Barcelona dan menekankan kepentingan pemain Madrid untuk sentiasa menyediakan pilihan hantaran (passing options) ketika memegang bola.

Nota tersebut juga mendedahkan pelan taktikal Madrid yang tidak mahu Barcelona menyerang dari tengah. Pemain Madrid diarahkan untuk memberi tekanan kepada Iniesta dan Rakitic sahaja. Busquet pula dibiarkan tanpa tekanan.

Dengan menyekat serangan Barcelona dari tengah, Madrid sebenarnya mahu memaksa Barcelona menyerang dari kawasan sayap mereka.

Carvajal dan Marcelo ditugaskan untuk mengawal pergerakan Alba dan Alves. Ramos dan Pepe pula perlu mengawal Messi dan Neymar.

Siapa pula yang perlu mengawal Suarez? Menurut nota ini, Casemiro ditugaskan untuk turun dan mengawal Suarez.

Nota ini juga memberitahu bahaya larian diagonal Suarez untuk membawa Ramos, Casemiro dan Pepe keluar dari posisi tengah, sekaligus membuka ruang di tengah untuk diserang Neymar dan Messi.

nota taktikal madrid

Berikut merupakan terjemahan nota tersebut:

(1) 4v3 bakal berlaku pada peringkat awal permainan Barcelona
– sekat lorong-lorong hantaran mereka di tengah
– Iniesta dan Rakitic tidak boleh menerima bola
– jika mereka menerima bola, mereka tidak boleh diberikan ruang untuk memusingkan badan
– perhatian kepada orang ketiga, biarkan Busquet tanpa tekanan

OBJEKTIF: Barcelona tak boleh dibenarkan untuk menerima bola di kawasan sayap

(2) Siapa yang akan mengawal full back mereka?
– full back kita mesti kawal full back mereka
– perbetulkan kawalan pemain, pertahanan tengah kawal pemain sayap mereka dan Case(miro) mesti turun sebaris dengan 4 pertahanan kita

(3) Siapa yang akan kawal Messi jika dia turun bawah untuk mengutip bola?
– seseorang perlu ikutnya -> perbetulkan kawalan pemain

(4) Beri perhatian kepada pergerakan diagonal Suarez di belakang pertahanan jika mereka mendapat bola di kawasan sayap
– kawal dia secara langsung
– guna pemain ketiga (Casemiro) di pertahanan tengah

Hampir semua pelan taktikal ini berjaya dilakukan oleh Madrid. Mereka memaksa Barcelona untuk menyerang dari kawasan sayap. Malah Cristiano Ronaldo turut dilihat membantu Carvajal untuk menjejak larian Alba di kawasan sayap.

Sebagai rekod, Real Madrid berjaya emnewaskan Barcelona 2-1 hasil jaringan Karim Benzema dan Cristiano Ronaldo. Gol Barcelona dijaringkan oleh Gerard Pique.

Baca juga: Sejarah El Clasico: Bagaimana Perang Saudara 1936 Buat Real Madrid & Barcelona Bermusuh

Sumber:

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN