NOSTALGIA: Kisah 14 Perlawanan ‘Away’ Perit Yang Perlu Dihadapi Perak

Perak

Kempen Liga Perdana Satu 1997 pastinya mengingatkan kita kepada pertarungan penyerang import Perak, Laszlo Repasi dan Carlos Robeirio dari Kedah yang perlu menanti hingga ke perlawanan terakhir untuk menentukan siapakah pemenang anugerah kasut emas pada musim tersebut.

Seperti yang diketahui, Repasi yang hanya beraksi setengah musim akhirnya dinobatkan selaku penjaring terbanyak dengan 19 gol selepas beliau berjaya menjaringkan satu gol ketika perlawanan terakhir Perak bertemu Johor manakala Robeirio pula gagal menemui sentuhan jaringan meskipun Kedah terikat 2-2 menentang Pahang.

Namun, ada cerita menarik pada musim tersebut apabila skuad Perak yang ketika itu dibimbing mendiang Karl-Heinz Weigang perlu untuk mengharungi 14 perlawanan berturut-turut pada pusingan pertama di gelanggang lawan.

Hal ini kerana Stadium Perak pada ketika itu perlu untuk menjalani proses baik pulih susulan terpilih sebagai salah sebuah gelanggang bagi Kejohanan Piala Dunia Remaja 1997.

Namun begitu, meskipun sudah dibaik pulih, keadaan stadium tersebut masih tidak memenuhi piawaian yang ditetapkan sekali gus Stadium Utama Kangar [kini dikenali Stadium Tuanku Syed Putra] menjadi pengganti.

Cabaran besar yang perlu dihadapi itu kelihatan semakin sulit apabila Perak hanya mampu mencatatkan tiga kemenangan, dua keputusan seri dan 11 kekalahan pada pusingan pertama sehingga menyebabkan skuad Yob itu terjerumus ke dasar liga. Tiga kemenangan yang dicatatkan itu ialah ketika menundukkan Kelantan [1-0], Selangor [3-2] dan Johor  dengan keputusan 3-1.

Kembalinya semua Perak ke stadium keramat itu pada pusingan kedua pada mulanya masih belum memberikan keputusan positif diharapkan apabila mereka tewas pada dua perlawanan awal bertemu Terengganu dan Brunei di mana kedua-dua aksi berkesudahan 1-2.

Selepas itu, dengan Repasi dan Janos Krescka yang masuk pada pertengahan musim bagi menggantikan Kim Sang Hun dan Zlatko Vidan serta mereka sudah mula menunjukkan kehebatan sambil dibantu rakan sepasukan lain, Perak tidak memandang ke belakang lagi untuk menang sembilan perlawanan dan seri tiga aksi. Keadaan yang terus melonjakkan Perak ke tangga kelapan liga untuk mengumpul 41 mata.

Semuanya BOLA juga sempat menghubungi bekas penjaga gol skuad Perak pada musim tersebut, Suhaimi Mat Lazim untuk berkongsikan tentang pengalaman hebat yang mungkin tidak pernah dirasai oleh pemain lain.

”Pada ketika itu memang ada sedikit kesukaran kerana masa kami di Ipoh cukup terhad.”

”Sebagai contohnya ada ketika sebaik sahaja Perak selesai menentang Kelantan, kami terus bergerak ke Pahang kerana akan menghadapi mereka di Stadium Darul Makmur. Selepas perlawanan di Pahang, kami terpaksa tinggal di asrama dan berlatih selama seminggu di sana dan terus berlepas ke Sarawak untuk perlawanan seterusnya.”

”Kalau perlawanan dengan negeri yang berhampiran dengan Perak, tiada masalah kerana kami akan balik dahulu ke Ipoh sebelum ke destinasi seterusnya.”

”Memang tak dapat dinafikan para pemain memang agak ‘down’ terutamanya bagi yang sudah berkeluarga tetapi apa-apapun itulah pengorbanan yang perlu kami hadapi demi pasukan yang diwakili,”

“Waktu itu semua pemain bersemangat disebabkan kami memiliki pengurus [Allahyarham Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar], penolong pengurus, jurulatih dan pembantunya yang sentiasa memberikan kata-kata perangsang buat kami.”

”Mereka sering mengatakan inilah masa untuk kita naikkan nama negeri Perak walaupun terpaksa beraksi berturut-turut di luar Perak,” ujar Suhaimi bercakap kepada wakil Semuanya BOLA.

Tak dapat dibayangkan bagaimana untuk menghadapi tekanan terpaksa beraksi secara berturut-turut di gelanggang lawan apatah lagi pada ketika itu Perak perlu ke Brunei [15 April], Sabah [26 April] dan Sarawak [6 Mei] dalam tempoh kurang daripada dua bulan.


Kajian MSL & MPL 2021. Klik pautan di bawah untuk sertai poll.
https://forms.gle/91rWtwigRyhTPijN6

Kredit featured image: Facebook Peribadi Syed Shahrul Nizam 

Baca artikel lain dari kami mengenai legenda bola sepak skuad ‘Yob’ ini:

Detik Perebutan Kasut Emas Liga Perdana 1997 Sentiasa Di Minda Laszlo Repasi

Eksklusif: Ketegasan Weigang Yang Tidak Akan Dilupakan V. Saravanan

M. Nagaraja: Daripada Pekerja Majlis Daerah Ke Legenda Perak

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN