Baru-baru ini tular di media sosial mengenai berita bekas penyerang Johor Darul Takzim (JDT), Norshahrul Idlan Talaha bakal memperkuatkan jentera serangan Tok Gajah musim depan.
Dalam satu muat naik bintang antarabangsa Singapura, Safuwan Baharudin di laman instagram beliau, ianya menunjukkan gambar beliau bersama Norshahrul berjumpa dengan Presiden Pahang FA, Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Ibni Sultan Haji Ahmad Shah.
https://www.instagram.com/p/BbohWu0Ftte/?taken-by=safuwanbaharudin
Norshahrul atau mesra dengan panggilan Mat Yo mengesahkan gambar itu dan beliau mengakui sudah menandatangani kontrak bersama skuad kendalian Dollah Salleh itu, dua hari lalu.
“Ya, saya sudah menyertai Pahang,” kata Mat Yo kepada harian metro bagi menjawab spekulasi perpindahannya ke skuad Tok Gajah.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Tengku Muda Pahang selaku Presiden PBNP dan jurulatih (Dollah) kerana mempercayai kemampuan saya serta memberi peluang bermain untuk pasukan ini musim depan.
“Saya harap dapat membalas kepercayaan itu dengan membantu pasukan berkenaan menjuarai sekurang-kurangnya satu piala.
“Salah satu sebab saya menyertai Pahang kerana yakin mereka pasukan yang berpotensi untuk bergelar juara.
“Pada masa sama, saya juga ingin berterima kasih kepada FELDA United yang memahami serta merestui keputusan saya walaupun mereka turut menawarkan kontrak lanjutan kepada saya,” katanya.
“Saya berharap akan mendapat lebih banyak peluang bermain pada musim depan. Namun, saya sedar ia bukan mudah kerana Pahang juga memiliki ramai pemain yang bagus di bahagian serangan.
“Begitupun, saya bersedia untuk memberi saingan bagi merebut tempat. Malah, saya yakin masih mampu bermain di peringkat tinggi jika tidak dibelenggu kecederaan,” ujar Mat Yo.
Pahang kini dilihat mempunyai rangkaian serangan yang berbisa jika dia digandingkan dengan penyerang import Brazil, Matheus Alves, Mohamadou Sumareh (Gambia) dan Yamil Romero (Argentina).
Mat Yo pernah mewakili pasukan My Team, Kelantan, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Terengganu, dan membayangkan akan meninggalkan FELDA kerana ingin mencari peluang bermain dalam kesebelasan utama.
Ini kerana sepanjang semusim bersama FELDA, dia lebih banyak berperanan sebagai pemain gantian serta diletakkan di bahagian sayap berbanding posisi kegemarannya di tengah.