Penyerang veteran kebangsaan, Norshahrul Idlan Talaha, akhirnya memilih untuk berkelana ke Liga 1 Thailand pada musim depan bersama juara Liga 2 Thailand 2019, Bangkok Glass Pathum United.
Perkara itu disahkan oleh ejen Norshahrul, Abdul Halim Abdul Shukor, yang merupakan Pengarah Urusan Offside Sports dengan menjangkakan bekas penyerang Pahang itu akan memeterai kontrak pada Jumaat ini.
Jelas Abdul Halim, pemergian Norshahrul selepas Dominic Tan yang akan bermain di Liga 1 Thailand pada musim 2020 membuktikan kualiti teknikal yang ada pemain tempatan di Liga Malaysia semakin menunjukkan peningakatan.
Malah, dia menjangkakan sebenarnya lebih ramai pemain tempatan mampu berbuat demikian apabila negara jiran itu mula membuka mata kemampuan bola sepak negara ini selepas mengejutkan mereka 2-1 pada pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023 pada tahun lalu selain keupayaan kelab Malaysia, Johor Darul Ta’zim(JDT) beraksi di Liga Juara-juara AFC (ACL).
“ Saya telah mendapat tawaran rasmi daripada salah satu kelab besar di Thailand bagi mendapatkan Norshahrul atau kita panggil Mat yo, jadi esok (Rabu) dia akan ke Bangkok serta membuat pemeriksaan perubatan pada Khamis dan jika semuanya baik, Jumaat dia akan tandatangani kontrak.
“ Beberapa bulan lalu, mereka ada mencari pemain Asean dan sata cadangkan nama Mat Yo kerana saya percaya keupayaan teknikal dia yang boleh bermain di Liga Thailand.
“ Pasti akan lebih ramai pemain Malaysia ke sana (Liga Thai) selepas ini kerana keupayaan pemain di sini kian meningkat melalui kekalahan mereka 1-2 malah tidak dilupakan aksi JDT di Liga Juara-juara.
“ Kemasukan pemain import berkualiti di dalam Liga Malaysia secara tidak langsung sebenarnya membantu pemain tempatan meningkatkan tahap kualiti teknikal mereka ke arah lebih baik setanding dengan liga luar termasuk Thailand.
“Liga Malaysia antara salah satu liga yang begitu kompetitif di rantau ini malah turut punyai pakej tersendiri untuk menarik perhatian ramai pihak di luar sana dan saya yakin akan ada pemain dari liga sini boleh bermain di Jepun atau Korea Selatan selain Thailand , ” katanya.
Bangkok Glass atau turut dikenali BG Pathum United turut membariskan Irfan Ahmad, anak kepada legenda bola sepak Singapura, Fandi Ahmad yang beraksi di posisi pertahanan.
Ini merupakan kali pertama Norshahrul yang pernah bermain di Liga Malaysia sejak 2003 bakal ke luar negara ketika dia bakal menginjak usia 34 tahun dan dia bakal mengikut jejak langkah penyerang Perak, Shahrel Fikri Md. Fauzi yang pernah bermain di Nakhon Ratchasima secara pinjaman ada tahun lalu.
Menurut Abdul Halim, dia tidak pernah ragu-ragu akan kemampuan Norshahrul walaupun dia kini sedang berada di penghujung karier sebaliknya optimis dia boleh bermain untuk tempoh beberapa tahun lagi.
“ Apabila saya mencadangkan nama Norshahrul, saya tidak lihat pada umurnya tetapi saya yakin dia boleh beraksi selama dua ke tiga musim lagi kerana bakatnya masih ada selaku penyerang yang baik.
“ Semuanya bergantung kepada diri sendiri dalam soal penjagaan kecergasan termasuk pemakanan serta semua perkara, di Jepun pun ada pemain boleh kekal beraksi sehingga umur 51 tahun, jadi saya rasa tiada masalah, “ katanya.