Quantcast

BERITA

Norio Tsukitate: Timor Leste Hanya Dibarisi Oleh Pemain Muda Yang Kurang Pengalaman

Kekalahan besar 1-7 Timor Leste kepada Malaysia mengundang pelbagai pertanyaan dalam kalangan penyokong tempatan sama ada lawan menurunkan skuad senior yang kebiasaannya dibarisi oleh pemain naturalisasi.

Bagaimanapun, ketua jurulatih Timor Leste, Norio Tsukitate mengakui pasukan bimbingannya kebanyakannya dibarisi oleh pemain muda dan kurang berpengalaman.

Tetapi mereka mempunyai seorang bintang sayap muda seperti Joao Pedro yang beraksi bersama kelab Divisyen 3, Liga Thailand iaitu North Bangkok University. Sebelum berhijrah, dia beraksi bersama Benfica Laulara.

Ketika di saingan Piala AFF 2018, ‘The Little Samba Nation’ ini telah menyenaraikan skuad yang amat muda, paling muda berusia 17 tahun dengan kaptennya, Jorge Sarbas Victor berusia 20 tahun.

timor leste

FOTO: INASGOC/Antara

Pengendali dari Jepun itu mendedahkan, dia terpaksa mengharapkan pemain muda yang berusia bawah 20 tahun kerana pemain senior yang lebih berpengalaman tidak lagi menjalani latihan penuh dalam sukan bola sepak.

“Suatu keadaan yang sukar kerana lebih kurang 25 pemain senior berhenti berlatih dan musim liga tempatan hanya untuk lima ke enam bulan. Selepas itu mereka tidak berbuat apa-apa … tanpa latihan.

“Jadi, keadaan pemain senior adalah sukar, saya tidak boleh memilih mereka ke dalam skuad, jadi itulah sebab saya memilih pemain muda kali ini. Tapi selepas perlawanan semalam, saya fikir peluang kami untuk pusingan seterusnya 99 peratus musnah,” katanya dalam Sinar Harian.

Mengulas mengenai kekalahan besar kepada Malaysia, Tsukitate berkata anak buahnya tidak mampu menandingi pemain skuad Harimau Malaya yang jauh lebih hebat dengan kawalan bola dan hantaran yang tepat.

“Dalam liga tempatan, mereka bermain lebih baik … lebih tekanan, lebih banyak hantaran yang baik tetapi dengan Malaysia, mereka tidak boleh bermain sedemikian. Saya harap mereka mempelajari sesuatu dalam perlawanan itu dan akan mempamerkan aksi yang lebih baik dalam perlawanan kedua,” katanya.

Ketika ditanya oleh Sinar Harian mengenai perancangan untuk aksi timbal balik Selasa ini, Tsukitate enggan mengulas lanjut.

“Perlawanan pertama sudah tamat, saya tidak dapat berfikir untuk perlawanan kedua nanti. Minta maaf”, jelasnya

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!