Impian Nor Hakim Hassan untuk bermain di bawah kendalian B. Satiananthan akhirnya menjadi kenyataan selepas beliau menjadi rekrut terbaharu pasukan Selangor untuk menghadapi cabaran Liga Malaysia (Liga-M) pada musim depan.
Dengan profil yang cukup meyakinkan bersama Perak selama dua musim, beliau telah menjadi buruan beberapa pasukan termasuk pasukan negeri kelahirannya Terengganu FC (TFC), namun Selangor menjadi pasukan yang berjaya meyakinkannya untuk menyertai juara Piala Malaysia sebanyak 33 kali itu.
Memulakan karier profesionalnya pada 2011 bersama Majlis Perbandaran Muar, pemain berusia 28 tahun itu mengakui apabila beraksi menentang mana-mana pasukan kendalian Satiananthan sebelum ini, beliau akan memberikan aksi terbaik supaya jurulatih itu sedar mengenai kemampuan dirinya.
Nor Hakim Hassan: Peluang Menyarung Jersi Selangor Satu Penghormatan – https://t.co/NSTv1lWEKh pic.twitter.com/Ywh60US7pz
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) December 19, 2019
“Saya memang sentiasa mahu beraksi di bawah bimbingannya. Sekarang ianya menjadi kenyataan.” ujar Nor Hakim kepada wartawan The Star.
“Sebagai pemain bola sepak, kami mahu belajar lebih banyak. Satiananthan adalah jurulatih yang sangat berpengalaman tentunya akan membantu saya sebagai pemain.
“Misi dan visi saya musim ini adalah membantu Selangor menamatkan saingan [Liga Super] di tempat tiga teratas dan juga memenangi kejuaraan.”
Satiananthan setakat ini turut berjaya mendapatkan beberapa pemain baharu lain seperti Brendan Gan, Muhammad Safuwan Baharuddin, Rodney Celvin Alwensivie dan Nicholas Ryan Swirad untuk menambah kekuatan pasukan di semua posisi.
Cabaran utama Nor Hakim di Selangor kini adalah perlu bersaing dengan dengan nama-nama besar yang lain di posisi sayap seperti Mohd Syazwan Zainon. Wan Zack Haikal Wan Nor dan Mohd Khyril Muhymeen Zambri.
“InsyaAllah, saya dan rakan sepasukan akan buat yang terbaik untuk semua penyokong. Mereka tentunya dahagakan kejayaan sejak sekian lama.
Pemain kelahiran Kuala Terengganu itu turut mendedahkan tidak mudah untuk beliau membuat keputusan meninggalkan Perak selepas apa yang telah beliau lalui selama dua tahun bersama pasukan itu termasuk menjulang Piala Malaysia pada 2018.
“Bagaimanapun dalam bola sepak benda seperti ini akan berlaku. Kita tidak akan selamanya kekal di satu tempat. Di mana sahaja saya bermain, saya akan bermain demi lencana di dada. Itu memang kebiasaan saya”
“Sebahagian bekas rakan sepasukan saya memang kecewa apabila melihat saya keluar, tetap mungkin Perak sudah ada perancangan yang lebih baik selepas ini.
“Saya tahu Perak ada ramai pemain muda yang berbakat, jadi sudah tentu mereka akan jumpa pengganti di posisi saya itu. Saya mahu dapatkan rentak bersama Selangor dan lakukan yang tebaik.
“Persiapan pra-musim nampak baik sahaja dan beberapa perlawanan persahabatan telah diatur. Kami dalam landasan yang tepat untuk memulakan musim dengan baik,” katanya lagi.
Kredit Foto: FA Selangor