Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa bertanggapan ketiadaan klausa di dalam kontrak untuk memotong gaji pemain yang gagal mempamerkan prestasi diharapkan hanya akan merugikan pasukan Liga Malaysia.
Beliau dipetik berkata sedemikian setelah mengadakan pertemuan selepas majlis menandatangani kontrak di antara KLFA dan pemain pasukan Liga Premier Kuala Lumpur bagi musim 2020 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras, semalam.
Manurut Nokman, berbeza dengan dua musim sebelum ini, garis panduan penyediaan kontrak pemain yang disediakan oleh Malaysian Football League (MFL) kini tidak mempunyai klausa yang memberikan persatuan memotong gaji pemain yang gagal memberikan aksi terbaik buat pasukan.
“Dua tahun lepas dalam kontrak ada mengenai prestasi dan KPI dalam kontrak, tetapi MFL dah buang,” kata beliau seperti dilaporkan oleh Bernama.
“Pada 2019, hanya ada mengenai disiplin. Jadi kita tidak tahu bagaimana nak memastikan pemain beri yang terbaik.
“Sebelum ini kita pernah hantar surat kepada pemain luar negara, dia hantar balik surat menerusi peguam memberi amaran kepada kita, kerana tidak termaktub dalam kontrak.
“Jika ia melibatkan pemain import yang menerima gaji puluhan ribu Ringgit, memang merugikan kita dan tidak adil buat pasukan,” katanya.
Antara pemain import yang pernah beraksi bersama skuad ‘The City Boys’ sejak beberapa musim yang lalu adalah Guilherme de Paula, Bobirjon Akbarov, Junior Aparecido, Sylvano Comvalius dan Ryutaro Karube.