Pengurus Bayern Munich, Niko Kovac percaya bahawa pemain sayap Manchester City, Leroy Sane akan berhijrah dari England ke kelab bimbingannya.
Sane menjadi tumpuan utama Kovac untuk menyarung jersi kelab Bavaria tersebut bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Arjen Robben dan Franck Ribery.
Kedua-dua pemain sayap berpengalaman itu memilih untuk meninggalkan pasukan selepas mengumumkan persaraan sebaik sahaja berakhir saingan musim lalu.
Pengurus yang merupakan bekas kapten Croatia itu menyifatkan Leroy Sane sebagai pemain impian buat Bayern Munich walaupun pengurus Manchester City, Pep Guardiola masih memerlukan khidmat Sane di Etihad Stadium.
”Pengurusan kelab sangat komited dibelakang kami dan saya sangat yakin.”
”Saya beranggapan kami mampu untuk mendapatkannya (Leroy Sane).”
”Leroy (Sane) adalah pemain bola sepak yang hebat dan membuktikannya di England dan bersama skuad kebangsaan,” ujar Niko Kovac lagi.
Sane yang juga merupakan pemain skuad kebangsaan Jerman berjaya menjaringkan 10 gol serta menghasilkan 11 bantuan jaringan dalam saingan Liga Perdana Inggeris 2018/19 sekaligus membantu Manchester City meraih kejuaraan liga buat kali kedua berturut-turut.