Ketua jurulatih FELDA United, Mohd Nidzam Jamil melahirkan rasa kesyukuran apabila pasukannya berjaya mengutip tiga mata berharga setelah menewaskan PKNS FC dengan jaringan yang besar dalam aksi Liga Super di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka semalam.
Kemenangan itu sangat penting untuk memastikan mereka terkeluar daripada zon penyingkiran ke Liga Premier pada tahun depan dan hanya dibezakan dua mata dengan pasukan Kuala Lumpur dan satu mata dengan PKNP FC di tangga tercorot.
“Kita sepatutnya berupaya mengakhiri perlawanan dengan kemenangan besar jika situasi panik tidak berlaku…apa pun saya bersyukur Felda United menang dan paling penting kita dapat berganjak daripada kedudukan bawah.
“Ketika kita mendahului pada kedudukan 5-1, kita sepatutnya ‘kill the game’…tetapi semua panik termasuk saya yang sehinggakan apabila mahu menukar pemain, kita berfikir macam-macam,” katanya sperti dipetik dalam Sukan Sinar.
Pada perlawanan itu, pemain import pertahanan FELDA United, Thiago Aquino terlebih dahulu membuka akaun jaringan pada minit ke 4 sebelum disusuli dengan jaringan Hadin Azman (m-44), Faiz Mazlan (m-47) dan dua gol pemain kebangsaan Singapura, Khairul Amri Kamal pada minit ke-51 dan 55.
PKNS pula memperoleh jaringan menerusi Kpah Sherman pada minit ke-15, Tamirlan Kozubaev (m-60), Jafri Firdaus Chew (m-71) dan Rodney Akwensivie pada minit ke-81.
Bagaimanapun, Nidzam mengakui masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki selepas ini jika mahu terus kekal dalam saingan Liga Super musim depan.
“Kita perlu membetulkan ‘set pieces’ dan sepakan sudut yang diambil supaya dapat berjaya menghasilkan lebih banyak gol pada aksi akan datang. Kami juga banyak dibarisi pemain muda dan saya perlu bersabar menunggu mereka matang dalam perlawanan,” katanya.
Sementara itu, pengendali PKNS, Datuk K Rajagobal kecewa dengan aksi longlai anak buahnya yang melakukan kesilapan mudah sehingga membiarkan lawan menguasai perlawanan.
“Keadaan ini menyebabkan saya terpaksa menukar pemain untuk menyeimbangkan permainan dan menghasil satu gol demi satu gol. Secara keseluruhannya, kita bermain kurang baik dan pemain juga tidak memanfaatkan peluang yang diperoleh.
“Saya fikir pemain lambat bangkit dan apabila mereka cuba mengejar, ia sudah terlambat. Kemenangan pada perlawanan ini memang penting untuk kita kerana kutipan mata setiap pasukan dalam liga tidak jauh berbeza,” katanya.