“10 minit terakhir yang menakutkan.” Itu merupakan ulasan pengendali FELDA United, Nidzam Jamil mengenai tiga mata pertama yang diraih mereka dalam saingan CIMB Liga Super 2020 pada Rabu – The Fighters menang 3-2 ke atas Melaka United.
FELDA United melalui dua perlawanan sebelum itu dengan hanya satu mata hasil terikat 1-1 ketika menentang PJ City FC dan tewas 1-3 ke atas Sabah.
Mendahului perlawanan 3-0 adalah satu perkara yang menakjubkan buat FELDA United, namun pada 10 minit terakhir, skuad Hang Tuah mula bangkit.
Romel Morales meledak gol pertama pelawat pada minit ke-81 dan kemudian Uche Agba meledak pula gol kedua, dua minit sebelum perlawanan berakhir.
Nidzam Jamil pula dilihat tidak senang duduk apabila dilihat sering menjerit ke arah pemainnya setiap kali peluang terlepas dan Melaka United menghasilkan gol.
“Bayangkan anda sedang memandu tetapi tidak memakai tali pinggang keledar dan tiba-tiba polis buat sekatan jalan raya di hadapan. Anda tentu panik dan itulah perasaan saya ketika itu,” jelas Nidzam Jamil mengenai perlawanan tersebut.
“10 minit terakhir yang menakutkan tetapi pemain-pemain saya telah berjaya melaluinya,” tambahnya lagi yang dipetik menerusi portal The Star.
Pengendali berusia 40 tahun itu turut berkata yang pasukan lawan memiliki barisan pemain yang mantap tetapi pemain-pemainnya lebih menunjukkan karekter.
Ia sesuatu yang harus dibanggakan oleh Nidzam Jamil kerana musim ini FELDA United dibarisi oleh majoriti pemain baharu yang tiada pengalaman di Liga Super.
Berdepan pula penyandang juara, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada minggu ini, Nidzam Jamil mahu para pemainnya mengekalkan kerja keras sebegini dan juga perlu memperbaiki beberapa isu permainan terutamanya ketika bertahan.
“Barisan pertahanan kita perlu lebih kental. Tiga mata adalah sesuatu yang bernilai tetapi kita perlu belajar daripada pengalaman ini,” tegasnya lagi.
“Mereka telah bekerja sangat keras dan inilah yang diperlukan pada setiap minggu. Kemampuan pemain dalam membuat keputusan ketika dalam padang dilihat tidak konsisten, terutamanya ketika penat dan ini perlu diperbaiki,” tambahnya lagi.
FELDA United dijadualkan akan berkunjung ke stadium baharu milik JDT, Stadium Sultan Ibrahim untuk turun menentang Harimau Selatan pada malam ini.
KREDIT FEATURED IMAGE: FELDA UNITED FC