‘Bagai satu mimpi’, itulah ungkapan yang cukup sesuai yang dialami ketua jurulatih Kuala Lumpur, Nidzam Adzha Yusof apabila beliau mengakui tidak percaya dengan pembatalan TM Piala Malaysia selepas pasukannya sudah memberikan fokus terhadap pertemuan dengan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada saingan suku akhir.
Kuala Lumpur yang layak untuk beraksi di Piala Malaysia musim ini setelah menamatkan kempen Liga Premier Malaysia di tangga ketiga mendapat bye pada pusingan pertama saingan tertua di Asia itu selepas Sabah terpaksa menarik diri dengan lebih awal juga berpunca daripada penularan wabak COVID-19.
Keadaan itu memberikan peluang buat skuad warga kota untuk berdepan JDT yang menewaskan Kuching FA di Larkin, tempoh hari. Namun, segala persiapan dilakukan untuk menghadapi gergasi bola sepak tanah air itu kelihatannya tidak langsung memberikan sebarang erti selepas Malaysian Football League (MFL) mengumumkan pembatalan saingan Piala Malaysia, semalam.
Keputusan itu juga sekali gus bermaksud tirai Liga Malaysia bagi musim 2020 secara rasminya telah ditutup dengan hanya kempen Liga Super dan Liga Premier yang dijalankan dengan satu pusingan dapat ditamatkan.
Selepas tiada lagi sebarang aksi bola sepak pada musim ini, Nidzam cuma mengharapkan segala-galanya akan kembali berjalan seperti biasa pada 2021 agar pertumbuhan liga tempatan tidak terbantut.
”Sejak saya menjadi jurulatih sejak 2005, saya rasa ini adalah pengalaman paling pahit apabila Piala Malaysia dibatalkan dan rasanya semua orang pasti kecewa terhadap apa yang terjadi.”
”Apa yang saya harapkan hanya satu, musim 2021 kita akan kembali merasai musim bola sepak yang kita rindukan selama ini iaitu semua pertandingan mampu dijalankan selain kehadiran penonton,” katanya.
Semalam, MFL telah mencapai kata sepakat untuk mengumumkan pembatalan kejohanan TM Piala Malaysia 2020 melalui satu mesyuarat khas Ahli Lembaga Pengarah MFL selepas rayuan untuk meneruskan kejohanan itu telah ditolak oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Kredit featured image: Kuala Lumpur Hawks
Baca artikel lain dari kami mengenai skuad Kuala Lumpur:
Nidzam Adzha: Kuala Lumpur Di Landasan Tepat, Perlu Kekalkan Momentum
Gandingan Marcote-Nidzam Adzha Akan Dijelmakan Semula Di Kuala Lumpur?