Bekas penyerang skuad kebangsaan Perancis, Nicolas Anelka menegaskan Paris Saint-Germain (PSG) melakukan kesilapan yang besar sekiranya kelab tersebut melepaskan Edinson Cavani ke pasukan lain pada musim panas nanti.
Hal ini kerana, masa depan penyerang berusia 33 tahun kelahiran Salto, Uruguay itu bersama PSG menjadi tanda tanya selepas kontraknya yang bakal berakhir pada penghujung musim ini masih belum dilanjutkan.
Laporan yang dikeluarkan pada 15 April lalu turut mendedahkan ibu kepada Cavani mengakui bahawa anaknya berminat untuk menyertai Atletico Madrid kerana begitu tertarik untuk berada di bawah kendalian Diego Simeone.
Perkara itu telah menguatkan lagi desas-desus jodoh antara Cavani dan PSG yang memasuki musim ketujuh bakal menemui penghujungnya.
Sehubungan dengan itu, Anelka yang turut pernah menyarung jersi PSG selama dua musim [2000/01 dan 2001/02] merasakan adalah sesuatu yang merugikan jika Cavani meninggalkan Parc des Princes.
”Membiarkan Cavani meninggalkan pasukan ini akan menjadi satu kesilapan yang amat besar,” ujar Anelka menurut laporan dikeluarkan Goal.
”Dia masih merupakan pemain di posisi nombor 9. Dia memang banyak mengalami masalah ketika beraksi tetapi dia membuatkan permainan menjadi gila dan menjaringkan gol. Dia akan berkhidmat untuk anda walau bagaimana cara sekalipun.”
”Di Paris, anda memerlukan persaingan. Dia merupakan penyerang ‘super’ yang berisiko sekiranya anda memberikannya kepada pasukan pesaing kerana dia semestinya akan pergi ke kelab besar yang lain.”
”Dan ketika bertemu PSG, dia sudah pasti akan menjaringkan gol dan pada ketika itulah mereka akan menyesal kerana melepaskannya pergi,” tambah Nicolas Anelka lagi.
Selama tujuh muim bersama PSG, Edinson Cavani telah berjaya meledakkan 138 jaringan dalam semua pertandingan disertai kelab gergasi Perancis itu.