Sebagaimana yang telah dimaklumkan oleh Astro Arena, bekas pertahanan Selangor, Nick Swirad akhirnya mengambil keputusan untuk berhijrah ke Thailand.
Walaupun kontrak yang ditawarkan kepadanya hanya untuk tempoh dua bulan, namun, langkahnya ke bumi Thailand bolehlah dianggap sebagai satu cara untuk beliau keluar daripada ‘kekusutan’ yang berlaku selepas kontraknya dengan Selangor FC berakhir.
Bukan hanya itu, malah beliau yang pada awalnya menanti tawaran rasmi daripada KL United selepas persetujuan, lebur apabila pengurusan kelab bertukar tangan dan hanya menawarkan kontrak kepada rakannya yang turut menanti tawaran, Daniel Ting.
Nicholas Swirad: Ia Satu Penghargaan Apabila Selangor Datang ‘Mengetuk Pintu’ Anda – https://t.co/UHj3srP42S pic.twitter.com/wBqkptQqNJ
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) December 17, 2019
Tolak tawaran lain untuk KL United
Perbincangan awal bersama KL United menyaksikan pihak pengurusan telah bersetuju secara dasarnya mahu mengambilnya bersama Daniel Ting. Penantian tawaran rasmi daripada The City Boys berakhir dengan hanya rakannya itu sahaja ditawarkan kontrak.
Selangor pula mahu fokus kepada DNA baharu dengan memberikan ruang kepada pemain muda memecah masuk ke skuad utama, menyaksikan beberapa pemain senior terpaksa angkat kaki dan meninggalkan pasukan pada musim depan.
Bercakap kepada Semuanya BOLA, Nick Swirad berkata walaupun pada awalnya kecewa, namun beliau menerima keputusan KL United yang hanya mahukan rakan karibnya, Daniel Ting. Katanya, “Saya tak ambil hati. Pada awalnya, memang saya kecewa tetapi saya faham dan mendoakan yang terbaik buat mereka.”
Tambahnya lagi, “Saya tolak tawaran pasukan lain kerana saya sudah tekadkan hati untuk bermain bersama KL United dan mahu bersama kawan baik saya, Daniel Ting.”
Bekas pemain JDT II Daniel Ting yang merupakan pemain warisan negara kembali beraksi di Liga Malaysia apabila bakal menyertai sebuah pasukan di Lembah Klang untuk saingan musim depan.
— Zulhelmi Zainal Azam (@zulhelmizainal1) December 19, 2020
Hanya ada 24 jam untuk buat keputusan
Terpaksa meninggalkan Selangor, ‘ditolak’ KL United dan kesuntukkan masa untuk mencari pasukan lain, mungkin menyebabkan beliau akhirnya mencari jalan keluar untuk menghirup udara baharu. Dan ketika itulah tawaran dari Thailand tiba.
Beliau dimaklumkan tidak akan ditawarkan kontrak beberapa hari sebelum Krismas dan menurutnya, ia menyukarkannya kerana hampir semua pasukan sudah lengkap.
“Saya faham disebalik tindakan KL United, tetapi mereka meletakkan saya dalam situasi yang sukar. Saya cadangkan kepada ejen saya untuk mencari peluang di Thailand. Tak sampai sejam, saya dapat tawaran daripada Nongbua [Pitchaya].
“Mereka mahukan keputusan dalam 24 jam. Saya fikir ia satu peluang dan pengalaman yang menarik untuk saya,” jelas Nick Swirad yang sudah tiba di Thailand sejak Jumaat.
Selepas lima musim beraksi dalam Liga Malaysia, pemain warisan negara Nick Swirad akan berangkat ke Thailand esok untuk melengkapkan perpindahan ke kelab Thai League 2 Nongbua Pitchaya FC.
— Zulhelmi Zainal Azam (@zulhelmizainal1) February 3, 2021
Ada tawaran daripada pasukan Liga M
Ketika menerima tawaran tersebut, Nick Swirad sedang bersama rakan-rakannya menyambut Krismas. Antara yang ada bersamanya ketika itu adalah Brendan Gan, Taylor Regan dan Darren Lok. Ceritanya, “Mereka galakkan saya untuk terima.”
“Mereka merasakan ia peluang yang hebat buat saya selepas lima tahun di Malaysia. Saya ada peluang untuk kekal. Saya terima satu, dua tawaran selepas Nongbua.
“Sejujurnya, ia bukanlah ‘getaway’ untuk saya. Saya bertuah apabila KL United tidak ambil saya, saya dapat satu cabaran baharu. Saya rasa ini satu langkah ke depan walaupun saya akui ‘terluka’ tidak dapat bersama kawan baik saya.” ujarnya.
Ketika Semuanya BOLA bertanya kelab mana di Malaysia yang datang kepadanya selepas beliau menerima tawaran Nongbua, beliau tidak memberikan jawapan, namun menyatakan yang perpindahan ini kembali ‘mengujakan’ dirinya.
Daniel Ting Bakal Perkuatkan Bek Kiri Kedah Darul Aman FC? https://t.co/h5ZFRaqRI3 pic.twitter.com/t8Eo943yye
— Semuanya BOLA (@mysemuanyabola) December 21, 2020
Pandangan tentang Nongbua Pitchaya
Nongbua Pitchaya merupakan pendahulu Thai League 2 selepas 20 perlawanan – lapan mata di depan Khonkaen United, berbaki 14 perlawanan untuk menamatkan musim 2020/21. Dengan prestasi pasukan yang sangat baik ketika ini, adakah Nick Swirad mampu memecah masuk ke dalam skuad utama The Gamecocks?
Walaupun masih belum tiba secara rasmi ke kelab tersebut kerana perlu menjalani tempoh kuarantin dua minggu, beliau sudah tidak sabar untuk turun ke padang bersama mereka. Ketika ini, kelabnya menguruskan penginapannya di hotel bersama kelengkapan untuk membantunya membuat latihan sendiri di bilik hotel.
Ujarnya tentang peluang bermain, “Itulah sebab saya datang ke sini. Saya mahu bermain. Dengan situasi di Malaysia, kita pun tidak tahu bila liga akan kembali. Di sini, mereka mahu tamatkan saingan liga dalam tempoh enam minggu lagi.
“Ia akan melibatkan banyak perlawanan dan mereka sangat mahukan saya di sana. Terpulang kepada saya [untuk buktikannya]. Ia sedikit sukar kerana saya datang di saat kemuncak liga dan tiada pra-musim buat saya. Inilah cabarannya dan peluang terbaik buat saya. Harapnya saya dapat membantu kelab ini,” jelasnya.
Walaupun Nick Swirad tidak mengakui ia merupakan satu ‘getaway’ buat dirinya selepas pelbagai kesukaran di Malaysia, tetapi apabila beliau berkata sedikit ‘terluka’ tidak dapat bermain bersama rakannya, dapat disimpulkan yang beliau sedang mencari ‘ketenangan’, disamping memburu minit permainan di Thailand.
KREDIT FEATURED IMAGE: SELANGOR FC
Baca lagi artikel lain mengenai Nick Swirad dan Thai League:
EKSKLUSIF: Dari Manchester Ke Malaysia, Hijrah Nicholas Swirad Demi Harimau Malaya
Nicholas Swirad: Ia Satu Penghargaan Apabila Selangor Datang ‘Mengetuk Pintu’ Anda
Nick Swirad, Khyril Muhymeen Antara 5 Pemain Yang Digugurkan Selangor?