Nicholas Swirad: Ia Satu Penghargaan Apabila Selangor Datang ‘Mengetuk Pintu’ Anda

Nicholas Swirad Selangor 2020

Pertahanan baharu Selangor, Nicholas Swirad tidak mahu terlalu terbawa-bawa, tetapi mahu membantu Gergasi Merah mencapai semua sasaran yang telah ditetapkan pada musim depan.

Bercakap kepada Semuanya BOLA, pertahanan berusia 28 tahun ini turut menjelaskan betapa penyertaan pemain berkualiti akan membawa Selangor menuju ke masa depan yang lebih baik.

Menyertai Selangor bersama-sama pemain berprofil tinggi di Liga Malaysia seperti Brendan Gan dan Safuwan Baharudin, serta bakal menyertai pemain-pemain seperti Sandro dan Ifedayo Olusegun, tidak akan membuatnya lupa diri mengenai status dirinya.

Untuk sampai ke tahap ini, pemain kacukan Malaysia-England ini telah melalui karier di beberapa pasukan iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT), Melaka United dan pada musim lalu bersama PKNS FC.

Baginya, ia satu penghargaan dapat bersama-sama Selangor yang kini dibarisi pemain-pemain terbaik di Malaysia, selepas bekerja keras selama empat tahun bersama tiga pasukan tersebut.

“Musim ini saya hanya mahu membantu pasukan semampu saya. Anda dapat lihat siapa yang telah menyertai pasukan. Pada saya, pasukan ini sedang menuju ke arah masa depan yang sangat baik.

“Satu penghargaan untuk saya menjadi sebahagian daripadanya. Beberapa tahun lalu, saya langsung tidak tahu pasukan-pasukan dalam Malaysia, melainkan Selangor. Memang JDT pasukan yang hebat di Malaysia, tetapi dari segi sejarah dan jurulatih, Selangor adalah seperti Manchester United atau Liverpool,” ujarnya.

Gergasi Merah dikatakan telah mula melamarnya pada Oktober yang lalu dan setelah diberikan ‘lampu hijau’ oleh PKNS FC, Nicholas telah memulakan perbincangan bersama Selangor.

“Ia adalah satu penghargaan apabila pasukan seperti Selangor datang kepada anda dan memaklumkan yang mereka mahu mendapatkan anda,” jelasnya sambil menyatakan telah ‘didekati’ pengendali Selangor, B. Satiananthan ketika Piala Sultan Selangor.

Nicholas telah beraksi untuk Pilihan Selangor menentang Pilihan Singapura, yang telah dimenangi oleh Selangor dengan keputusan 1-0, hasil ledakan penyerang sensasi Selangor, Ifedayo Olusegun.

Swirad selangor piala sultan selangor 2019
Foto: Zainal Yahya/Yahoo News Singapore

Ketika ditanya oleh Semuanya BOLA, adakah dengan ramainya pemain berprofil tinggi di Shah Alam akan membuatkannya risau bakal ‘dibekukan’ di bangku simpanan, tonggak pertahanan PKNS musim lalu ini merasakan ianya perkara biasa dalam bola sepak.

“Ianya sebahagian daripada bola sepak. Anda perlu terima, jika itu yang berlaku. Seperti ketika di JDT II, selepas pemergian Coach Benjamin [Mora], saya diletakkan di bangku simpanan untuk satu tempoh masa yang lama. Itulah bola sepak. Ada naik dan turun.

“Dan kemudian di Melaka [United], ianya adalah yang terbaik sepanjang karier saya [di Malaysia]. Bagi saya, tidak kisah, sama ada saya di bangku simpanan atau kesebelasan utama, yang penting adalah prestasi Selangor di padang sentiasa baik.

“Saya tidak menganggap rakan-rakan di benteng sebagai pesaing tetapi, kami adalah ‘kesatuan pertahanan’,” tambahnya lagi yang pernah bermain di non-league football di Manchester, England.

Bercakap mengenai peluangnya untuk bersama skuad kebangsaan, Nicholas hanya akan menunggu peluang itu dan mahu lebih fokus membuat yang terbaik bersama Selangor musim hadapan.

Swirad Malaysia Mac
FOTO: FAM

“Ia bukan dibawah kawalan saya. Apa yang boleh dilakukan adalah beraksi dengan baik bersama Selangor,” jawabnya sambil berkata musim lalu memang beliau menanti panggilan skuad kebangsaan dan telah mendapatkannya, namun terganggu oleh kecederaan.

“Tidak mendapat panggilan skuad kebangsaan bukan bermaksud anda tidak bermain dengan baik,” tambahnya lagi mengenai kepentingan panggilan skuad kebangsaan kepadanya,

“Untuk penyokong Selangor, saya berharap anda akan bersabar dan melihatnya daripada sudut yang lebih besar. Saya faham, penyokong selalunya mahukan kejayaan sekelip mata, tetapi Selangor sedang membina tapak untuk masa depan yang lebih gemilang, untuk jangka masa yang panjang,” seru Nicholas buat para penyokong Gergasi Merah untuk saingan musim 2020.

Kredit Featured Image: FA Selangor

Leave a Reply