EKSKLUSIF: Dari Manchester Ke Malaysia, Hijrah Nicholas Swirad Demi Harimau Malaya

Nicholas Swirad atau nama penuhnya Nicholas Ryan Swirad baharu sahaja menyahut seruan skuad kebangsaan untuk saingan Piala AIRMARINE 2019. Ini merupakan panggilan pertamanya sejak menjejak kaki ke Malaysia 4 tahun yang lalu.

Walaubagaimanapun, pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe telah memaklumkan kepada Utusan yang Nicholas besar kemungkinan tidak sempat cergas untuk kejohanan ini.

Dia mengalami kekejangan otot selepas sehari bersama skuad kebangsaan dan pada awalnya dijangkakan sempat pulih namun dengan kesuntukan masa serta hanya 22 pemain yang bakal dibawa, Nicholas dijangka bakal tersisih sepenuhnya.

Namun, Semuanya BOLA tetap akan bawakan artikel mengenai kisahnya selepas berpeluang menghubunginya untuk sesi temuramah sempena Kejohanan Piala AIRMARINE dan juga panggilan sulungnya untuk skuad Harimau Malaya.

Selepas 4 tahun di bumi Malaysia

Dilahirkan di Manchester, United Kingdom, Nicholas adalah salah seorang pemain bola sepak yang memiliki susur galur Malaysia melalui ibunya yang berasal daripada Pulau Pinang, yang kini telah menetap di Manchester bersama bapanya.

Bercakap kepada Semuanya BOLA, tidak pernah terlintas di fikirannya yang dia akan datang bermain di Malaysia dan akan berpeluang menyarung jersi skuad kebangsaan Malaysia.

Nicholas Swirad di depan Old Trafford ketika berumur 2 tahun sekitar tahun 1993. FOTO: Nicholas Swirad

Untuk kejohanan Piala AIRMARINE 2019, ketua jurulatih skuad kebangsaan telah membuat kejutan dengan menyenaraikan 6 pemain yang belum pernah tampil bersama Harimau Malaya termasuk memanggilnya buat kali pertama.

Bercampur rasa bangga dan syukur, pertahanan tengah berusia 27 tahun itu sebenarnya tidak menyangka akan mendapat peluang selepas hampir 4 tahun beraksi di bumi Malaysia.

Pemain yang mesra disapa dengan panggilan Nick itu pertama kali menjejak kaki di Malaysia apabila menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 2016. Dia dipinjamkan ke Melaka United pada pertengahan musim 2017 sebelum berpindah secara tetap.

Untuk 2019, Nick menyertai kem PKNS FC dan setakat ini telah mempamerkan aksi memberangsangkan dalam 6 perlawanan.

Kejutan budaya yang sangat besar

“Ia satu kejutan budaya yang besar, sangat besar buat saya. Jika anda tanya kepada yang mengenali saya sejak dari JDT II, anda akan dapati saya kini adalah pemain yang berbeza,” ujarnya mengenai pertama kali beraksi di Malaysia.

“Sebagai pemain yang pernah bermain di England, ia adalah sesuatu yang sangat berbeza dari segi cuaca, fizikal dan juga tempo perlawanan. Jadi, ia mengambil sedikit masa untuk menyesuaikan diri sehinggalah saya bermain untuk Melaka.

Nicholas Swirad bersama skuad FC United Of Manchester. FOTO: Nicholas Swirad

“Ketika ini saya rasa lebih yakin, kerana ini tahun ke-4 saya di Malaysia dan tahun ke-2 beraksi di Liga Super. Ya, saya rasa saya telah menyesuaikan diri,” ujarnya mengenai perbezaan yang telah dilaluinya apabila berhijrah ke Malaysia.

Nicholas turut menyatakan walaupun dia hanya beraksi di liga bawahan di England, tahap intensiti permainan di sana berbeza dengan apa yang dialami di Malaysia ketika ini.

Pernah bekerja sebagai ‘pak guard’

Bercerita mengenai tempat kelahirannya, Nicholas menyatakan yang ia adalah dunia yang sangat berbeza dengan Malaysia – gaya hidup dan pastinya cuaca. Budaya bola sepak di Manchester juga jauh berbeza dengan yang ada di sini.

“Ia seolah-olah telah membuka mata saya apabila saya sampai di sini kerana sepanjang hidup, saya telah didedahkan dengan budaya bola sepak Eropah dan Inggeris,” ceritanya yang merupakan anak tunggal kepada kedua ibu bapanya.

Nicholas Swirad (tengah) ketika di Liga Australia. FOTO: Nicholas Swirad

“Saya mendapat latihan bola sepak yang sebenar di Kolej Manchester dengan FC United of Manchester. Saya belajar, berlatih dan juga bekerja di waktu malam sebagai penjaga keselamatan.

“Dan setiap hujung minggu, kami akan bermain dalam perlawanan bola sepak di non-league football di Old Trafford. Ianya kawasan di Old Trafford bukan stadium tersebut,” ceritanya sambil ketawa.

Terima kasih Scott Ollerenshaw, TMJ

Ketika ditanya mengenai bagaimana dia boleh sampai ke Malaysia dan membuat keputusan untuk berhijrah ke JDT, Nicholas menjelaskan yang ia adalah satu proses yang amat panjang.

“Terima kasih untuk Scott Ollerenshaw, TMJ dan Johor yang memungkinkan perkara ini berlaku,” jelasnya yang sudah pasti merupakan penyokong kuat Manchester United.

Menurutnya, ketika itu dia sedang beraksi di divisyen 2, Liga Australia (A-League) dan sedang cuba mencari jalan untuk ke Malaysia. Jodoh mempertemukannya dengan Scott Ollerenshaw yang merupakan ejen Junior Eldstal ketika itu.

FOTO: Nicholas Swirad

“Saya yang menghantar email kepadanya (Scott),” jelasnya bagaimana dia mula menghubungi Scott.

Email tersebut diperolehinya selepas berusaha mencari di segenap tempat apabila terlihat berita mengenai Junior Eldstal dan terdapat nama Scott bersama-samanya. Peluang untuk terbang ke Malaysia!

Antara JDT, Melaka United dan PKNS FC

Semuanya BOLA turut bertanya kepadanya, antara JDT, Melaka United dan PKNS FC, kelab mana yang paling disukainya.

“Saat paling menyeronokkan adalah ketika bermain di bawah kendalian jurulatih pertama saya di Melaka, Eduardo Almeida.

“Ia merupakan satu pengalaman yang hebat. Dengan pengaruh bola sepak ala-ala Portugal, pemain import yang bagus dan juga pemain tempatan yang hebat. Separuh musim yang hebat!

FOTO: Melaka United

“Dan ketika ini, saya juga menikmati karier saya bersama PKNS FC. Barisan jurulatih dan pemain-pemainnya adalah yang terbaik dan berkualiti. PKNS FC juga sangat profesional,” ulasnya panjang.

Bercakap mengenai Rajagobal, menurut Nicholas, dia sentiasa memberikannya keyakinan, memberitahu apa yang dia inginkan dan dia sangat jelas bagaimana dia mahukan pasukannya bermain.

Penutup

Jika tidak kerana kecederaan, besar kemungkinan Nicholas bakal diturunkan untuk kaps antarabangsanya yang pertama pada esok malam. Jika dilihatkan senarai pemain pertahanan tengah yang dibawa Cheng Hoe, dia adalah calon utama.

Perjalanan kariernya dari Manchester ke bumi Malaysia penuh warna. Dari liga terbawah England dan kini bersama PKNS FC di Liga Super Malaysia, boleh dikatakan ia pengalaman yang hebat.

Kini, pintu untuknya beraksi bersama Malaysia seakan-akan sudah terbuka selepas mempamerkan aksi yang baik sepanjang saingan awal liga. Ketukannya sejak 4 tahun lalu sudah mula mendapat perhatian Cheng Hoe dan Harimau Malaya.

Selamat maju jaya Nicholas Swirad! Semuanya BOLA berharap semoga pemain kelahiran Manchester ini akan berpeluang menunjukkan bakatnya bersama Harimau Malaya, jika tidak pada kejohanan ini, mungkin pada aksi yang akan datang.

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN