Kemenangan Paris Saint-Germain (PSG) ke atas Strasbourg telah menandakan yang penguasaan kelab utama Perancis itu terhadap saingan domestik mereka telah kembali bersambung.
Gol dari Marquinhos pada minit ke-14 dipadamkan oleh jaringan pemain yang sama sewaktu separuh masa kedua berlangsung.
Namun, tiga mata tetap milik PSG apabila Kylian Mbappe menjadi wira dengan menjaringkan gol pada masa kecederaan separuh masa kedua untuk memastikan tiga mata menjadi milik mereka.
Akan tetapi, apa yang menjadi tumpuan adalah kad merah yang diperoleh Neymar dalam perlawanan ini.
Beliau menerima dua kad kuning dalam masa yang singkat selepas mengutip amaran pertama pada minit ke-61.
Neymar kemudiannya dilayangkan kad kuning kedua dan seterusnya kad merah selepas itu apabila melakukan simulasi dalam kotak penalti untuk cuba meraih sepakan penalti.
Tindakan Neymar ini nyata merugikan tetapi ia dilihat seperti sengaja dilakukan supaya dirinya boleh dikecualikan daripada aksi liga pada 2 Januari menentang Lens.
Tapi kenapa?
Di Internet, timbul satu teori yang mengatakan perbuatan Neymar itu sebenarnya disengajakan supaya pemain itu boleh pulang beraya di Brazil.
Teori yang dimaksudkan Neymar dikatakan sengaja untuk mengelak daripada beraksi pada perlawanan tahun baharu demi mahu menyambut kehadiran 2023.
Sebelum ini pada 2020, Neymar juga pernah dikaitkan dengan spekulasi mengadakan parti tahun baharu selama lima hari berturut-turut pada 2020 saat seluruh dunia sedang teruk dihentam virus COVID-19.
Tindakan ini dilihat cukup ketara kerana menurut pengendali PSG, Christopher Galtier, Neymar dilaporkan terus meninggalkan Parc des Princes selepas dibuang padang.
“Neymar telah meninggalkan stadium sebelum tamat perlawanan. Anda perlu faham kemarahan yang dialami. Beliau perlu hilangkan kemarahannya,” kata Galtier.
Namun tidak pasti sama benar Neymar begitu marah atau Galtier sebenarnya cuba melindungi tindakan pemain itu yang keluar awal ke stadium – hanya Tuhan yang tahu.