Perpindahan Neymar da Silva Santos Jr. (gambar bawah) dari Santos ke kelab gergasi eropah dan Sepanyol, Barcelona merupakan antara perpindahan yang menjadi tumpuan dunia satu masa dahulu.
Diperkenalkan di hadapan 56,500 penyokong Barcelona di Nou Camp, kini Neymar adalah antara penyerang yang digeruni dengan kelincahan dan skil luar biasa yang beliau miliki.
Segalanya tampak mudah bagi Neymar. Gandingannya bersama Luis Suarez dan juga Lionel Messi menjadikan Barcelona memiliki antara rangkaian penyerang paling digeruni di eropah.
Tapi siapa yang menjangkakan betapa sukar untuk Neymar menyesuaikan diri di Catalan?
Hari ini Neymar boleh berbangga dengan gelaran juara Sepanyol, eropah dan juga juara dunia. Namun beberapa bulan pertama kehidupan di Catalonia adalah saat yang sukar bagi penyerang antarabangsa Brazil itu.
Walaupun Neymar merupakan antara prospek bola sepak dunia ketika perpindahan dari Santos ke Barcelona pada tahun 2013, beliau mendapati ia adalah perkara yang sukar untuk beraksi bersama-sama idolanya.
“Saya berjalan ke bilik persalinan. Di satu sudut ialah Lionel Messi, dan pada satu sudut lain ialah Xavi, Iniesta, Pique dan juga Dani Alves.”
“Saya merasakan diri seperti di dalam permainan konsol. Kehidupan saya seperti di dalam permainan video!” Ujar Neymar ketika ditemuramah dalam satu rancangan televisyen di Brazil, iaitu Caldeirao.
“Sebelum ini saya bermain dengan Messi dan juga pemain-pemain lain di dalam permainan konsol. Sekarang mereka bermain di sisi saya di atas padang.”
“Bulan pertama di Nou Camp adalah saat yang paling sukar. Saya malu dan segan untuk bertegur sapa dengan Messi serta pemain-pemain yang lain,” ujar Neymar lagi.
Menurut Neymar, satu isu yang menyebabkan perkara ini terjadi ialah pencapaian dirinya ketika bersama Santos tidak bermakna apa-apa lagi setelah dia beralih benua.
“Segalanya bermula kembali dari angka kosong. Apa sahaja yang anda telah capai di Brazil, tidak mempunyai apa-apa makna di Eropah,” kata pemain berusia 25 tahun ini.
“Anda perlu buktikan nilai diri anda. Anda harus berjuang dan saya mempunyai masalah untuk menyesuaikan diri.”
“Bagaimanapun semuanya berjalan seperti yang semua harapkan. Terima kasih kepada semua rakan sepasukan, keluarga dan sahabat handai yang sentiasa memberikan sokongan.”
“Mereka banyak membantu untuk mengembalikan fokus dan konsentrasi saya terhadap objektif utama saya berada di sini.” jelas Neymar lagi.
Salah satu soalan yang turut ditanya kepada Neymar dalam rancangan tersebut ialah kelab Brazil manakah yang akan menjadi pilihannya, sekiranya beliau mengambil keputusan untuk kembali ke Brazil satu hari nanti.
Neymar punyai jawapan yang jelas untuk soalan ini.
“Saya mahu bermain untuk Flamengo. Saya masih ingat, dalam satu perlawanan ketika saya bersama Santos dan bermain menentang pasukan ini.”
“Santos menewaskan Flamengo. Namun penyokong-penyokongnya tidak berhenti memberi sokongan dan dorongan kepada pasukan mereka,” jawab Neymar.
Neymar pasti berbangga dan berterima kasih kepada setiap individu yang telah membantu beliau mencapai apa yang beliau telah capai pada hari ini.
Satu perkara yang pasti ialah, karier beliau masih lagi panjang di hadapan. Selamat maju jaya Neymar!
Sumber:
1. Chris Myson, Goal.com (2017): ‘I thought that I was inside a video game’ – Neymar was embarrassed to speak to Messi;
http://www.goal.com/en-ng/news/4055/main/2017/07/02/36788272/i-thought-that-i-was-inside-a-video-game-neymar-was
2. Virtudes Sánchez, Marca (2017): Neymar: When I arrived at Barcelona I felt like I was in a video game;
http://www.marca.com/en/football/barcelona/2017/07/02/59591ea146163fd8358b4616.html