Neymar berpendapat perpindahan pemain yang dianggap sebagai sahabat karib beliau di Paris Saint-Germain (PSG), Lucas Moura ke Tottenham Hotspur sebagai tidak adil.
Pemain sayap antarabangsa Brazil itu dijangka akan melengkapkan perpindahan ke Tottenham Hotspur dalam masa terdekat, melibatkan nilai perpindahan berjumlah €27 juta dengan kontrak selama 4 tahun.
Lucas Moura yang menyertai PSG dari Sao Paulo pada Januari 2013 merupakan pemain utama PSG sehingga ketibaan Neymar sendiri menghadkan penampilan beliau pada musim ini.
Sejak ketibaan Neymar, Lucas hanya beraksi selama 76 minit untuk PSG di dalam aksi Ligue 1 pada musim ini. Walaupun demikian, bagi Neymar ia adalah sesuatu yang tidak adil serta menyedihkan untuk melihat Lucas meninggalkan Parc des Princes.
Selepas tamat perlawanan separuh akhir Coupe de la Ligue dengan kemenangan ke atas Rennes semalam, Neymar berkata kepada wartawan:
“Saya sedih Lucas pergi kerana beliau adalah sahabat baik saya. Lucas ialah seorang pemain berkualiti, tetapi jarang mendapay peluang beraksi.”
“Saya berpendapat ia agak kurang adil bagi Lucas. Beliau adalah seperti saudara kandung kepada saya di dalam bola sepak.”
“Ke mana pun beliau berpindah, saya berharap Lucas menjaringkan banyak gol untuk dipanggil menyertai skuad kebangsaan Brazil.”
Sebelum ini ketibaan Lucas di PSG dianggap sebagai sebahagian daripada proses untuk mengembangkan bakat beliau, serta batu loncatan sebelum menyertai kelab lain yang lebih besar.
Namun demikian Lucas gagal mempamerkan prestasi yang konsisten sepanjang bersama PSG walaupun pernah menjaringkan 12 gol dalam 37 perlawanan semusim di PSG.
“Lucas bukan sekadar seorang sahabat. Beliau mempunyai banyak kualiti. Beliau masih mempunyai peranan untuk dimainkan di sini. Namun demikian, saya bukan pemilik kelab ini untuk membuat keputusan. Pada saya, Lucas tidak seharusnya meninggalkan Paris,” tambah Neymar.