Meskipun Lionel Messi telah mencipta era kegemilangan bersama Barcelona, beliau juga pastinya tidak dapat dipisahkan dengan kelab Argentina, Newell’s Old Boys
Hal ini kerana Messi adalah peminat setia kelab yang berpangkalan di Rosario itu yang mana turut merupakan tempat kelahiran bintang bola sepak dunia tersebut.
Sebelum berhijrah dan menyertai Barcelona pada tahun 2001, Messi adalah produk keluaran Akademi Newell’s Old Boys sejak berusia enam tahun lagi. Antara rakan sepasukannya sejak dari zaman kanak-kanak sewaktu bersama kelab tersebut adalah Maxi Rodriguez.
Sehubungan dengan itu, Maxi dan Naib Presiden Newell’s Old Boys, Cristian D’Amico menegaskan bahawa pintu sentiasa terbuka buat Messi untuk kembali menabur bakti bersama kelab kesayangannya itu.
D’Amico tanpa berselindung turut menegaskan bahawa kelab yang menamatkan saingan liga musim ini di tangga ke-10 itu tidak akan berputus asa dalam usaha mereka untuk membawa pulang Messi ke sana.
”Saya tidak tahu apakah itu satu perkara yang mustahil. Ia terpulang kepada dia dan keluarganya,” ujar D’Amico menurut laporan Goal.
”Sebagai pengarah, kami perlu untuk menyediakan konteks terbaik untuk membantunya membuat keputusan. Apabila Maradona datang ke Newell’s, tiada siapa yang menyangka dia akan beraksi di sini.”
”Saya berharap sesuatu yang sama boleh berlaku terhadap Leo pula.”
”Jelas, kita tidak boleh untuk membuat sebarang masalah, ini adalah perkara yang halus. Apakah Newell’s tidak bermimpi untuk melihat pemain terbaik dunia menyarung jersi mereka? Masa akan menentukannya, kami perlu untuk terus bertenang.”
Sementara itu, Maxi Rodriguez yang kembali ke Newell’s Old Boys buat kali ketiga pada musim 2019 turut memasang impian untuk melihat rakannya itu memperkuatkan pasukan itu.
”Saya harap dia akan datang pada satu ketika. Ia akan menjadi bagi peminat. Ada keluarga di belakangnya dan membuatkan ia menjadi sukar.”
”Tetapi, jika dia akan datang ke sini, lebih baik dia membuat keputusan sama ada untuk datang ke sini dengan cepat atau saya tidak dapat bermain dengannya di Newell’s,” ujar Maxi berseloroh.
Jaringan menerusi sepakan penalti ketika bertemu Atletico Madrid dalam saingan La Liga tempoh hari menyaksikan Lionel Messi berjaya menghasilkan gol ke-700 dalam kariernya.