Kelab Inggeris, Newcastle United bakal dihukum FA negara tersebut kerana melanggar satu peraturan.
FA Inggeris melarang sebarang pengiklanan syarikat perjudian untuk jersi pasukan bawah-18 tahun. Selain itu, jenama syarikat alkohol juga tidak dibenarkan untuk dipaparkan pada jersi untuk pasukan kategori itu.
Tajaan
Newcastle United menerima penajaan daripada syarikat perjudian dalam talian. Syarikat perjudian tersebut berpangkalan daripada China.
Syarikat perjudian tersebut memeterai kontrak menaja Magpies sejak awal musim ini. Kontrak yang ditandatangani itu hanya untuk tiga musim sahaja.
Difahamkan peraturan itu dilanggar oleh pasukan bawah-18 tahun Newcastle semasa menentang Everton minggu lalu. Everton menewaskan mereka dengan 7 gol tanpa balas.
Newcastle diminta untuk membela diri sebelum 27 Mac ini.
Tekanan
Sekiranya Newcastle didenda, ia merupakan satu tindakan tegas oleh FA Inggeris. Tekanan itu bertujuan untuk mendidik belia agar menjauhi minuman beralkohol dan melibatkan dalam perjudian.
Meskipun generasi muda itu sama ada melibatkan diri sebagai pemain bola sepak atau bukan.
Beberapa tahun lepas, Parti Buruh (Labour Party) telah menjelaskan hasrat secara terbuka untuk mengharamkan terus penajaan syarikat perjudian dan minuman keras.
Timbalan Ketua Parti Buruh, Tom Watson membandingkan cadangan partinya dengan tindakan pengharaman iklan berkaitan tembakau pada 13 tahun lalu, yakni 2005. Iklan berkaitan tembakau seperti rokok telah diharamkan secara total di seluruh dunia.
Namun sayangnya parti itu gagal diberi mandat oleh pengundi di Britain semasa pilihan raya umum pada 2015 dan juga 2017.
Kenapa diharamkan?
Menurut satu laporan, seramai lebih 400 ribu pemain judi tegar di negara tersebut. Malah, ketagihan berjudi ini telah menganggu kehidupan mereka.
Memang benar, kos berjudi ini telah menambahkan kos sara hidup mereka sendiri.
Tindakan sebegini harus dipuji. Ada perkara yang sudah menjadi tradisi wajar dimansuhkan demi kebaikan banyak pihak.
Mungkin ia perlu diperluaskan ke seluruh dunia?