Legenda pertahanan Manchester United, Gary Neville menegaskan bahawa pemain tengah The Red Devils, Bruno Fernandes memerlukan rehat yang secukupnya untuk terus mempamerkan kecemerlangannya bagi menghadapi musim baharu.
Menyertai United pada jendela perpindahan Januari lalu, kehadiran Fernandes nyata memberikan nafas baharu buat skuad bimbingan Ole Gunnar Solskjaer itu sehingga menjadi tunjang kekuatan buat pasukan dalam menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) 2019/20 di tempat ketiga.
Beraksi sebanyak 22 perlawanan dalam semua pertandingan yang disertai Manchester United pada musim lalu, Fernandes berjaya menjaringkan 12 gol dan mencipta lapan bantuan jaringan.
Sehubungan dengan itu, Neville merasakan pemain kelahiran Portugal itu mampu untuk mengekalkan prestasi baik yang dipamerkannya pada musim lalu bagi terus menjadi nadi buat Manchester United.
”Bruno Fernandes kepenatan pada penghujung musim,” ujar Neville menurut laporan Goal.
”Pada beberapa perlawanan terakhir, dia kelihatan benar-benar kehabisan tenaga, tetapi harapan terhadapnya, apa yang telah dia lakukan sejak dia bersama pasukan.”
”Dia telah beraksi pada semua perlawanan, termasuklah bertemu Norwich dalam Piala FA, yang mana ia amat aneh pada waktu itu. Saya merasakan Ole menumpukan kepadanya dan terus mempercayainya [untuk diturunkan].”
”Dia sedang berada dalam tahap persembahan terbaiknya, dia sangat cergas, dia boleh berlari, sangat bertenaga dan apabila dia bermain, pasukan akan mencatatkan kemenangan.”
”Tetapi sudah pasti akan ada penurunan prestasi di mana dia kelihatan begitu memerlukan rehat. Diharapkan, dia akan mendapat rehat yang secukupnya dan bersedia untuk kembali beraksi.”
Kredit featured image: James Williamson – AMA/Getty Images
Baca artikel lain dari kami mengenai Fernandes: