Bruno Fernandes: Terlalu Awal Nak Bandingkan Saya Dengan Cantona

Bruno Fernandes

Pemain tengah Manchester United, Bruno Fernandes mengakui masih banyak yang perlu dilakukannya sebelum boleh dibandingkan dengan kehebatan legenda kelab, Eric Cantona.

Fernandes yang menyertai United pada musim panas lalu telah memberikan sumbangan cukup bermakna buat skuad kendalian Ole Gunnar Solskjaer sehingga berjaya menamatkan saingan 2019/20 di tangga ketiga serta masih berada di landasan tepat untuk menjuarai Liga Europa.

Impak hebat dijelmakannya itu sekaligus membuatkan sesetengah pihak melabelkan Fernandes sebagai pemain yang mirip Cantona.

Fernandes bagaimanapun menepis tanggapan tersebut dan merasakan masih terlalu jauh buatnya untuk mencapai tahap seperti bekas pemain kelahiran Marseille, Perancis itu.

”Saya berasa bangga mendengar tentang perkara itu dan dikatakan sebaris dengan nama-nama seperti itu,” ujar Fernandes menurut laporan Goal.

”Bagi saya, Cantona adalah pemain yang luar biasa buat kelab ini dan saya perlu untuk bekerja keras sebelum dibandingkan dengannya.”

”Saya sangat gembira untuk semua yang saya telah lakukan,tetapi saya masih belum berpuas hati seperti yang dikatakan oleh jurulatih.”

Membuat 21 penampilan bersama Manchester United, Fernandes berjaya menjaringkan 11 jaringan dengan lapan daripadanya terhasil dalam saingan Liga Perdana Inggeris.

Fernandes masih mampu untuk menambah koleksi jaringannya dan menyerlahkan lagi sumbangannya apabila United akan berdepan Sevilla pada aksi separuh akhir Liga Europa yang akan berlangsung pada awal pagi esok di Cologne, Jerman.

Kredit featured image: Clive Mason/Getty Images

Baca artikel lain dari kami mengenai Fernandes:

Leave a Reply

Bacaan Yang Disyorkan Untuk Anda