Pertahanan Union Berlin, Neven Subotic nyata masih risau dengan keadaan sekeliling berikutan wabak COVID-19 yang melanda dunia pada ketika ini dan beranggapan terlalu awal untuk melihat saingan Bundesliga diteruskan.
Seperti yang dilaporkan sebelum ini, kempen Bundesliga yang terhenti pada perlawanan ke-25 akan kembali disambungkan pada 16 Mei nanti dengan langkah aksi tanpa penyokong telah diambil
Meskipun sedar tidak ada jalan penyelesaian sempurna dapat diambil, Subotic melihat keputusan menyambung semula saingan pada pertengahan bulan itu dianggapnya sebagai sesuatu yang tergesa-gesa.
”Ini adalah satu situasi yang tidak menentu bagi kita semua. Ia tidak mungkin akan keluar dari persaingan liga ini dengan perkara yang positif.”
”Ia akan melibatkan pengurusan risiko yang terlalu banyak dan cuba untuk menamatkan musim ini dengan mengurangkan kadar mangsa yang terjejas [COVID-19],” ujar Subotic menurut laporan dikeluarkan Goal.
”Anda boleh mendengar daripada tanggapan saya bahawa saya kritikal dengan cara bagaimana mereka mengendalikannya, tetapi saya juga faham bahawa ini adalah situasi yang sukar buat semua orang.”
”Kami semua mahu terus ke hadapan dan berada dalam situasi di mana kami tidak perlu untuk risau mengenainya, tetapi saya merasakan tidak realistik dalam beberapa bulan mendatang [Bundesliga bersambung],” ujar Subotic lagi.
Neven Subotic yang kini berusia 31 tahun pernah menjulang trofi Bundesliga bagi dua musim berturut-turut [2010/11 & 2011/12] ketika menyarung jersi Borussia Dortmund.