Suasana bola sepak akar umbi di Malaysia nampaknya terus meriah dengan pelbagai insiden-insiden tidak diduga dengan kali ini ia membabitkan isu pemain cilik yang tampil dengan aksi ala ‘Muay Thai’ di atas padang.
Menerusi satu perkongsian video di media sosial, beberapa klip menunjukkan seorang pemain cilik berjersi kuning membuat kekasaran ke atas pemain lawan termasuk lagak ‘flying kick’.
Selain itu, beliau juga sempat memukul belakang salah seorang pemain lawan kerana tidak gembira apabila pasukannya dibolosi serta akhir sekali bentesan keras turut dilakukan beliau.
Walaupun ada kekasaran yang tak sepatutnya dibuat, pengadil perlawanan tersebut nampaknya tidak memberi hukuman keras buat pemain tersebut selain sikap jurulatih pasukan itu masih mengekalkannya.
Setakat ini, tiada perkongsian lebih jelas dibuat mengenai perlawanan tersebut dan ianya mengundang kecaman netizen di media sosial atas sikap pemain tersebut walau masih muda.
Antara komen netizen di portal Cakap Sukan Official, ramai menyarankan supaya pemain tersebut melupakan karier dalam sukan bola sepak serta memberi fokus kepada seni mempertahankan diri, Muay Thai.
Tak kurang yang turut memberi pandangan supaya pemain ini perlu diberi pendidikan sejak awal daripada segi disiplin supaya sikap buruk itu tidak terus berkembang pada masa hadapan.
“Kena berhentikan dari main bola Ni. Tak sesuai, elok join Muay Thai,” komen Edan Lyndan mengenai aksi pemain tersebut yang dianggap sangat kasar.
“Kena didik awal-awal ni, displin kena tinggi dik. Kalau bagus bermain displin macam ni, bye-bye dik,” nasihat Wan Chai pula kepad adik tersebut.
“Jurulatih kena main peranan lepas ni, bagi 10 round pusing padang sampai dia beringat,” pesan Hasmarizam Loving kepada jurulatih pemain cilik tersebut.
“Pelajaran Adab paling penting. Waima belajar di bilik darjah mahupun di luar bilik darjah. Kalau ada adab, sejauh mana pun boleh pergi,” komen Nurul Jannah.
“Saya berharap cikgu kenalpasti anak muridnya bermain dan berperangai seperti ni dibanned daripada awal walaupun mereka ada bakat, rosak sukan sekolah dan negara orang macam ni,” luah Telemong Sejahtera.
Bagi kami di Semuanya BOLA pula, semua orang perlu memainkan peranan penting terutama sekali ibu bapa kepada anak-anak yang mempunyai masalah baran di atas padang.
Tanpa telunjuk yang betul, daripada sesebuah bakat yang berpotensi tinggi akhirnya terbengkalai begitu sahaja kerana emosi dan didikan disiplin kurang dicurahkan buat mereka.