Menurut Nemanja Matic pengurus Manchester United, Jose Mourino sengaja ‘berlagak’ mengenai pencapaian yang dimiliki untuk mengalih tekanan yang dihadapi oleh pemainnya.
Selepas beberapa sesi sidang media sejak dua kekalahan menentang Brighton dan Tottenham yang mendidih, Manchester United akhirnya kembali ke landasan kemenangan apabila menewaskan Burnley 2-0 di Turf Moor pada Ahad lalu.
Menurut Matic, apa yang dilakukan oleh Mourinho sedikit sebanyak telah mengalihkan tekanan yang dihadapi oleh pemain untuk menampilkan kemampuan sebenar dalam perlawanan berikutnya.
Dalam beberapa sidang media bermula dengan kekalahan 3-0 kepada Tottenham di Old Trafford, Mourinho berulang kali merujuk kepada pencapaian yang dilaluinya sebelum ini, dan turut bertindak keluar dari sidang media sebagai tindak balas kepada soalan wartawan.
Ketika ditanya wartawan sepertimana yang dilaporkan oleh Telegraph, sama ada beliau senang dengan perlakuan pengurusnya itu, Matic berkata:
“Sudah tentu. Beliau tahu apa yang beliau sedang lakukan. Mourinho adalah salah seorang pengurus terbaik dunia, dan apa yang telah dicapai oleh beliau selama ini cukup untuk menjelaskan segalanya.”
Selepas dengan marah meminta wartawan untuk menghormati apa yang telah dicapai oleh beliau sebelum ini, Mourinho kemudiannya mendakwa diri sebagai antara pengurus terbaik dunia beberapa hari kemudian.
Sambil mengungkap kata-kata ahli falsafah Jerman, Georg Wilhelm Friedrich, Mourinho berkata pencapaian beliau seharusnya dinilai secara keseluruhan dan bukan hanya dikritik ketika pasukan sedang mengalami kesukaran.
Matic juga berpendapat Mourinho adalah pengurus yang masih sama seperti ketika membawa Chelsea bergelar juara pada musim 2014/15.
“Saya berpendapat Mourinho menyelesaikan isu tekanan di Manchester United dengan sangat baik. Kerana itulah beliau datang menyertai Manchester United,” ujar Matic.
Pemain tengah itu juga memuji pendekatan taktikal yang diambil oleh pengurus dari Portugal itu dengan mengubah peranan beliau, dan juga memasukkan Marouane Fellaini di dalam kesebelasan utama.
Dalam perlawanan tersebut, Matic beraksi di bahagian tengah, dan dibenarkan untuk mara ke hadapan membantu serangan, tatkala Fellaini beraksi sebagai pemain tengah bertahan.
“Mourinho sangat yakin sebelum perlawanan menentang Burnley, dan telah mempersiapkan pasukan dengan sagat baik.
“Kami tahu Burnley boleh memberi masalah dengan bola tinggi. Disebabkan itu, Fellaini beraksi sangat hampir dengan bahagian pertahanan, bertujuanuntuk memintas ancaman bola tinggi.
“Perlawanan ini menunjukkan bagaimana kami seharusnya bermain dalam perlawanan-perlawanan seterusnya. Sudah tentu kami masih mampu mencabar untuk kejuaraan,” ujar Matic lagi.
Matic sedar kemenangan ke atas Burnley harus diikuti dengan deretan kemenangan lain bermula dengan perlawanan menentang Watford selepas tempoh dua minggu rehat untuk memberi laluan kepada perlawanan antarabangsa.
Manchester United wajib mulai membina momentum kemenangan untuk mencabar Liverpool atau Chelsea yang setakat ini memiliki rekod bersih dengan empat kemenangan.
“Sudah tentu kami perlu mencatatkan lebih banyak kemenangan untuk membina momentum demi mencabar pasukan-pasukan lain,” tambah Matic lagi.