Pemain tengah kelahiran Serbia, Nemanja Matic percaya Manchester United perlu menandatangani beberapa orang pemain berpengalaman pada jendela perpindahan musim panas nanti untuk membuka peluang lebih luas untuk lebih mencabar musim hadapan.
The Red Devils menamatkan kempen Liga Perdana Inggeris 2017/18 di tempat kedua selepas mencatatkan 25 kemenangan, 6 keputusan seri dan 7 kekalahan untuk mengumpul 81 mata.
19 mata ketinggalan di belakang Manchester City yang gah menjuarai liga paling popular di dunia itu.
Selain dari kegagalan meraih gelaran juara liga, United turut hampa apabila kesemua pertandingan yang disertai gagal menghadirkan sebarang kejayaan tatkala mereka berbelanja hampir £170 juta termasuk membawa Romelu Lukaku dan Alexis Sanchez ke Old Trafford.
”Saya rasa kami memerlukan beberapa pemain berpengalaman untuk membawa lebih kualiti buat pasukan kami,” kata Matic selepas aksi final Piala FA di Wembley.
”Selepas itu, kami akan bersaing untuk merebut kejuaraan liga dan juga Liga Juara-Juara Eropah. Saya merasakan itu akan membuatkan kami meningkat. Seperti anda ketahui, musim lalu United berada di tangga keenam. Tahun sebelumnya di tangga kelima.”
”Jadi kami telah menunjukkan peningkatan, kami berada di tempat kedua musim ini. Satu-satunya pasukan yang lebih baik dari kami pada musim ini adalah Manchester City.”
”Jelas sekali, mereka bermain bola sepak yang menakjubkan. Tetapi kami berada di tempat kedua dan kami layak ke Liga Juara-Juara Eropah musim hadapan yang merupakan perkara paling penting.”
”Seperti yang anda lihat ketika perlawanan (menentang Chelsea), kami mencuba untuk bermain, kami bermain dengan baik.”
”Tetapi Chelsea mempunyai beberapa orang pemain yang akan menghukum kesilapan seperti (Eden) Hazard lakukan, jadi kami perlu menerima di mana kami boleh perbaiki dan mencuba pada musim hadapan untuk memenangi beberapa trofi.”