Setiausaha agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Dato’ Haji Hamidin Haji Mohd Amin pada hari ini mengumumkan bahawa ketua jurulatih kebangsaan, Nelo Vingada akan memegang jawatan sebagai pengurus pasukan berkuatkuasa serta-merta bagi menggantikan pengurus terdahulu, Dato’ Seri Subahan Kamal (gambar bawah).
“Selepas mendapat perkenan daripada DYAM Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor merangkap Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), baginda telah menitahkan ketua jurulatih kebangsaan, Nelo Vingada untuk turut memegang jawatan sebagai pengurus pasukan berkenaan,” katanya.
Vingada akan memulakan tugas sebagai pengurus pasukan merangkap ketua jurulatih kebangsaan bermula dengan perlawanan ketiga Kumpulan B, Kelayakan Piala Asia 2019 bertemu Hong Kong di Stadium Hong Kong, malam ini.
Manurut Hamidin, pelantikan ini dibuat untuk memudahkan perjalanan pentadbiran pasukan.
“Tunku Presiden mahukan seorang pengurus pasukan sepenuh masa yang boleh sentiasa fokus dengan tugasannya bersama pasukan, selain memudahkan perjalanan pentadbiran pasukan dari aspek pengurusan dan kejurulatihan ”
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada Timbalan Presiden FAM, Dato’ Sri Subahan Kamal yang sebelum ini telah menggalas tugas sebagai pengurus pasukan kebangsaan pada dua perlawanan kelayakan terdahulu bertemu Lebanon di Larkin pada 13 Jun lalu dan bertemu Hong Kong di Melaka pada 5 September lalu.
NELO VINGADA DILANTIK PENGURUS MERANGKAP KETUA JURULATIH KEBANGSAAN
Selepas mendapat perkenan daripada DYAM Mejar…
Posted by Football Association of Malaysia (Official) on Monday, October 9, 2017