4 Pemain Inggeris Yang Menyinar Di Luar England (Bahagian 1)

England berjaya melahirkan ramai pemain bola sepak bertaraf dunia yang begitu dikenali. Nama-nama seperti Peter Shilton, Sir Bobby Charlton, Gary Lineker, David Beckham, John Terry dan yang sensasi masa kini, Harry Kane tidak perlu diperkenalkan lagi.

Di sebalik kehebatan pemain-pemain dari negara Three Lions tersebut, kurang dapat dilihat para pemain mereka ‘dieksport’ untuk beraksi di liga terkemuka dunia yang lain seperti Serie A, La Liga dan lain-lain lagi.

Walaupun tidak ramai pemain yang beraksi di luar dan dapat menempa zaman kegemilangan, masih juga terdapat beberapa pemain yang mampu untuk menyinar di luar England, antaranya seperti :

4) Gary Lineker

 

Legenda yang kini berusia 56 tahun itu begitu menyerlah ketika bersama Leicester City dan Everton yang membuatkan Barcelona mahukan khidmatnya.

Selepas beliau memenangi anugerah kasut emas pada Piala Dunia 1986 di Mexico, Barcelona yang ketika itu dibimbing oleh pengurus dari England, Terry Venables telah merekrut Lineker dengan nilai  £2.8 juta. Venables turut membawa masuk Mark Huges (kini merupakan pengurus Stoke City).

Pemain yang tidak pernah memperoleh sebarang kad kuning dan merah ini telah membuat 138 penampilan bersama Barcelona dan menghasilkan 52 jaringan.

Beliau berjaya membantu Barcelona menjuarai Copa Del Rey 1988 dan European Cup Winner’s Cup pada 1989.

Lineker yang kembali ke England pada 1989, berhijrah ke Jepun untuk beraksi bersama Nagoya Grampus (1992) namun tidak begitu berjaya apabil sekadar menjaringkan 8 gol dalam 24 penampilan sebelum mengumumkan persaraan dalam bola sepak.

3) David Beckham

 

Pemain yang terkenal dengan sepakan percuma yang mampu menggegar gawang lawan dan mempunyai kualiti hantaran berkelas dunia ini akan sentiasa menjadi ingatan peminat bola sepak.

Beckham yang terlebih dahulu mencipta kegemilangan bersama Manchester United telah menjadi pilihan Presiden Real Madrid, Florentino Perez untuk membawa beliau ke Santiago Bernabeu pada 2003.

Ketika bersama The Galacticos, Beckham melakukan 155 penampilan bersama kelab dan berjaya menjaringkan 20 gol buat Real Madrid ketika itu.

Beliau berjaya membantu Real Madrid menjuarai Piala Super Sepanyol 2003 dan kejuaraan La Liga 2006/07. Kejayaan dramatik itu diraih Madrid apabila berkongsi mata dengan Barcelona, namun Madrid dinobatkan selaku juara kerana menggunakan peraturan ‘head to head record’.

Selepas itu Beckham berkelana ke LA Galaxy dan mencipta 11 jaringan daripada 67 penampilan serta menjuarai MLS Western Conference Championships dua tahun berturut-turut pada 2011 dan 2012.

Beckham juga turut pernah beraksi dengan AC Milan dan Paris Saint-Germain merupakan destinasi terakhirnya sebelum mengumumkan persaraan pada Mei 2013. Bulan yang merupakan bulan kelahiran beliau.

2) Owen Hargreaves

Pemain kelahiran Calgary, Canada ini memilih England sebagai negara untuk diwakili kerana bapanya merupakan orang Inggeris manakala ibunya dari Wales. Ini membuatkan beliau boleh membuat pilihan untuk beraksi di tiga negara tersebut.

Beliau yang sejak berusia 16 tahun berhijrah ke Munich untuk meneruskan impiannya dalam bola sepak apabila menyertai skuad remaja Bayern Munich pada 1997. Beliau yang mengalami ‘homesick’ ketika itu hanya ditemani poster idolanya di dinding asramanya iaitu David Beckham.

Dua tahun kemudian diserapkan ke pasukan Bayern Munich II untuk diberikan pendedahan. Hargreaves diberikan peluang beraksi dengan skuad utama ketika bertemu Hertha Berlin, beliau dimasukkan pada minit ke-83 bagi menggantikan Carsten Jancker pada Ogos 2000.

Sebulan kemudian beliau diturunkan sebagai pemain kesebelasan utama ketika bertemu SpVgg Unterhaching.

Ottmar Hitzfeld merupakan individu yang bertanggungjawab bagi mempercayai bakat yang dimiliki Hargreaves.

Pada tahun tersebut juga beliau berjaya membantu Bayern Munich menjuarai saingan Liga Juara-Juara Eropah 2000/01 apabila menundukkan Valencia.

Sepanjang pembabitannya bersama kelab Bavaria itu sehingga 2007, terlalu banyak kejayaan berjaya dikongsikannya. Antara kejayaannya ialah empat kejuaraan Bundesliga, satu kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah, tiga DFB-Pokal, DFP-Ligapokal dan Piala Antara Benua (kini dikenali Kelab Dunia FIFA) 2001.

1) Steve McManaman

 

Tidak keterlaluan untuk mengatakan beliau adalah pemain England paling menyinar ketika bersama Real Madrid. McManaman merupakan pemain England kedua beraksi di Madrid selepas Laurie Cunningham melakukannya pada tahun 1979 selepas berpindah dari Liverpool.

Beliau hadir ke Santiago Bernabeu disaat pasukan sedang menghadapi masalah bebanan hutang pada ketika itu yang memaksa Real Madrid menjual beberapa pemain utama mereka.

Empat tahun di Madrid, banyak kejayaan yang dikecapi McManaman seperti dua kejuaraan La Liga pada 2001 dan 2003, dua kejuaraan Liga Juara-Juara Eropah (2000 dan 2002), dua Piala Super Sepanyol, Piala Super UEFA 2002, Piala Antara Benua 2002 dan Copa Del Rey 2002.

McManaman turut berjaya menjaringkan gol kedua pada perlawanan akhir Liga Juara-Juara Eropah 2000 ketika menumpaskan Valencia di Paris dan menjadikannya pemain Inggeris pertama menjuarai kejohanan tersebut bersama kelab di luar England.

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN