Neil Etheridge adalah sebahagian daripada anggota skuad Filipina yang berada di Kuala Lumpur untuk berhadpan Timor Leste di dalam aksi peringkat Kumpulan B Kejohanan Piala AFF Suzuki 2018 di Stadium Bola Sepak Cheras pada 17 November lalu.
Filipina berjaya menewaskan Timor Leste 3-2 dalam perlawanan pada Sabtu lalu itu- namun Etheridge tidak diturunkan oleh jurulatih, Sven Goran-Eriksen dalam perlawanan tersebut.
Kunjungan hormat
Sebaliknya penjaga gol berdarah kacukan Inggeris-Filipina itu sempat singgah di Berjaya Times Square untuk meluangkan masa bertemu dengan pemilik kelab Cardiff City,Tan Sri Vincent Tan.
Melalui laman Instagram peribadi miliknya, penjaga gol berusia 28 tahun itu sempat memuat naik beberapa keping gambar bersama pemilik rangkaian perniagaan Berjaya Groups itu.
“Gembira untuk menyelesaikan kunjungan dan misi di Malaysia, dan berkesempatan untuk berjumpa sambil makan malam bersama pemilik Cardiff City, Tan Sri Vincent Tan,” ujar beliau di dalam muat naik tersebut.
Karier Etheridge
Etheridge telah tampil di dalam 40 perlawanan untuk The Azkal sejak 2008. Beliau merupakan produk akademi Chelsea bersama-sama pasangan adik beradik Younghusband- sebelum menyertai Fulham pada 2006.
Etheridge kemudiannya menyertai Cardiff City daripada Wallsall dan membantu kelab yang berpengkalan di Wales itu untuk muncul naib juara Championship pada musim lalu – sekaligus melayakkan mereka beraksi di saingan Liga Perdana Inggeris pada musim ini.
Beliau juga beraksi di dalam semua 12 perlawanan liga membabitkan Cardiff City setakat ini – yang kini berada di zon bahaya setelah menduduki tangga ke-18 selepas hanya merekodkan dua kemenangan dan dua seri pada musim ini.