Quantcast

BERITA LIGA MALAYSIA

MSL 2018: Negeri Sembilan Tergelincir Ke Liga Premier, Tewas 1-2 Kepada KL

Stadium Kuala Lumpur, Cheras telah menjadi saksi tersingkirnya Negeri Sembilan dari saingan unifi Liga Super 2018 selepas tumbang 1-2 kepada Kuala Lumpur, malam tadi.

Skuad Hobin Jang Hobin baharu sahaja semusim kembali ke kancah Liga Super namun kini telah relegasi semula ke saingan 100PLUS Liga Premier untuk musim 2019.

Rekod di kandang lawan sememangnya tidak pernah memihak kepada Negeri Sembilan dengan hanya merekodkan 1 kemenangan daripada 10 perlawanan sebelum ini.

Ketua jurulatih Kuala Lumpur, Fabio da Silva telah menyenaraikan 3 peledak utama pasukan The Hawks iaitu Guilherme de Paula, Paulo Josue dan juga kapten, Indra Putra Mahayuddin.

Sementara Negeri Sembilan yang terdesak mencari kemenangan pula gagal menyenaraikan peledak utama, Nicolas Velez di saat-saat akhir dikhabarkan akibat masalah kecergasan.

Separuh masa pertama

Negeri Sembilan yang bergelut untuk kekal di Liga Super melakukan serangan seawal minit ke-3 dengan percubaan Ferris Danial tersasar dari gawang yang dikawal Sharbinee Allawee.

Minit ke-12, gol tandukkan penyerang Kuala Lumpur, de Paula selepas menerima hantaran lintang Syazwan Andik dibatalkan kerana dia dikesan berada pada kedudukan offside.

Pengganti Velez, Fakrul Aiman pula nyaris menjaringkan gol buat pelawat apabila percubaannya pada minit ke-15 sedikit tersasar di sebelah kiri gol, selepas menewaskan dua pertahanan.

Minit ke-28, percubaan dari luar kotak penalti oleh Aiman Khalidi berjaya ditepis keluar oleh Sharbinee. Sharbinee telah beberapa kali diuji oleh jentera serangan pasukan pelawat.

Kuala Lumpur yang hanya mahukan keputusan seri dilihat gagal mengatur asakan berbahaya dengan satu percubaan tepat ke kubu skuad Hobin Jang Hobin selepas setengah jam berlalu.

Walaupun kerap mengasak kubu The Hawks, Negeri Sembilan tidak memiliki sentuhan akhir yang berkesan sebagaimana sentuhan Velez yang merekodkan 3 gol dalam dua perlawanan terakhir.

Minit ke-42, akhirnya Kuala Lumpur yang berjaya meledak gol pendahuluan hasil tandukan Bobirjon Akbarov bermula daripada sepakan penjuru di sebelah kiri gol pelawat.

Tidak menunggu lama, dua minit kemudian, giliran pertahanan Negeri Sembilan, Alex Moraes menanduk masuk jaringan penyamaan, juga berpunca daripada sepakan penjuru.

Separuh masa kedua

10 minit pertama, pasukan pelawat melakukan dua percubaan ke kubu lawan namun percubaan Falvio Beck Junior dan Angel Guirado tersasar dari gawang gol tuan rumah.

Tandukkan de Paula pada minit ke-57 selepas menerima hantaran daripada sepakan penjuru berjaya dinafikan dengan tangkapan kemas oleh penjaga gol, Kaharuddin Abdul Rahman.

The Hawks yang mungkin masih terkesan dengan keputusan tewas besar 1-5 kepada Perak pada Rabu lalu tampak terlampau memberi ruang buat pelawat mengemudi perlawanan.

Minit ke-84, tandukkan pemain gantian, Hafiz Johar nyaris memberikan gol pendahuluan buat Kuala Lumpur, tetapi ianya berjaya diselamatkan oleh Kaharuddin.

Khairul Izuan Rosli dan Aiman Khalidi berjaya melakukan rembatan dari luar kotak penalti pada minit ke-85 dan 86, namun berjaya diselamatkan dengan baik oleh Sharbinee.

Dengan tidak semena-mena, minit ke-87, kapten tuan rumah, Indra Putra berjaya melakukan sentuhan mudah untuk menewaskan penjaga gol hasil sepakan percuma oleh Paulo Josue.

Gol yang menyentak pasukan pelawat ini adalah gol ke-6 yang telah dijaringkan oleh Indra Putra sepanjang 19 aksinya dalam saingan Liga Super musim ini.

Kuala Lumpur akhirnya berjaya meraih 3 mata berharga di laman sendiri selepas 3 kali gagal melakukannya dengan kali terakhir menang di Cheras adalah pada 2 Jun lalu.

Kemenangan ini membolehkan Kuala Lumpur memintas PKNP FC dan Selangor ke kedudukan ke-8 Liga Super, sementara Negeri Sembilan kekal di posisi kedua dari dasar liga.

Kami perlukan bantuan anda.

Saban hari, semakin ramai peminat bola sepak membaca Semuanya BOLA. Seiring dengan pertambahan pembaca ini, kos operasi kami turut meningkat. Jadi anda boleh nampak kenapa kami perlukan bantuan anda. Untuk memastikan penulis-penulis kami dapat terus membekalkan konten-konten yang tidak bias dan berkualiti kepada anda, duit dan kerja keras sangat diperlukan. Tetapi kami buat juga kerana kami percaya anda berhak mendapat maklumat berkualiti dari media yang telus, bebas dan terbuka.

Sumbangan anda membolehkan masa depan penulis-penulis kami terus terjamin. Dengan hanya RM5, anda boleh menyokong Semuanya BOLA - dan ia hanya mengambil masa 1 minit. Terima kasih.

atau Beri Sumbangan

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!