PKNP FC telah berjaya menundukkan pasukan yang bergelut di dasar liga, Negeri Sembilan dengan keputusan 2-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi, sebentar tadi.
Walaupun Negeri Sembilan berjaya mengikat kedudukan selepas ketinggalan, PKNP akhirnya menerusi pemain tengah, Kim Sang Woo berjaya menjaringkan gol kemenangan.
Negeri Sembilan telah tewas kali kelima berturut-turut dalam saingan liga musim ini dan mereka kini terus berada di dasar unifi Liga Super musim 2018.
Tuan rumah dilihat meletakkan harapan kepada peledak utama mereka, Falvio Junior yang setakat ini telah menjaringkan 6 gol untuk menggempur ke kubu lawan.
Tanpa Shahrel Fikri, PKNP menyandarkan harapan kepada pertahanan yang digubah menjadi penyerang, Franklin Anzite untuk menjadi penggempur utama mereka.
Separuh masa pertama
10 minit pertama, kedua-dua pasukan masih tercari-cari rentak dalam usaha untuk mengasak ke kubu lawan. Masih belum ada gerakan atau percubaan berbahaya tercipta.
Minit ke-13, peluang terbaik buat Negeri Sembilan, namun pertahanan tengah, Alex Moraes gagal untuk menolak masuk lambungan ke hadapan gol pasukan pelawat.
PKNP cuba membalas asakan, minit ke-20, pemain sayap Deevan Raj berjaya melepaskan satu percubaan lemah ke sisi gawang gol tuan rumah yang dikawal oleh Ilham Amirullah.
Berbanding PKNP, Negeri Sembilan tampaknya lebih banyak mengatur dan melakukan serangan. Namun, sering kali umpanan ke kawasan gol gagal diterjemahkan dengan gol.
Khairul Anwar merembat deras namun tersasar melewati palang gol pelawat yang dikawal oleh Syazani Mat Puat selepas menerima hantaran silang oleh Hazrul Mustafa pada minit ke-25.
Berselang dua minit, kapten PKNP, Hafiz Ramdan pula berjaya melepasi benteng kanan tuan rumah, tetapi gagal memanfaatkan peluang tersebut dengan percubaan tersasar.
Minit ke-40, penyerang tuan rumah, Ferris Danial berjaya melakukan percubaan deras dari luar kotak penalti PKNP namun sedikit tersasar di kiri pintu gol.
Umpama ulangan kepada pertembungan pusingan pertama liga pada Februari lalu, tiada gol mampu dihasilkan oleh kedua-dua pasukan dalam aksi babak pertama.
Separuh masa kedua
Tiada pertukaran dibuat oleh kedua-dua ketua jurulatih, Abu Bakar Fadzim dan Mario Lemos memasuki babak kedua. Jelas, kedua-duanya masih yakin dengan barisan pemain sedia ada.
Setakat babak pertama tadi, Negeri Sembilan telah berjaya melakukan 4 percubaan, sementara PKNP pula hanya berjaya membuat 2 percubaan ke gawang lawan.
Minit ke-49, Nicolas Velez melakukan percubaan lemah ke pintu gol pelawat. Velez merupakan penjaring kedua terbanyak Negeri Sembilan dengan 5 gol setakat ini.
Flavio hampir berjaya untuk menjaringkan gol buat tuan rumah pada minit ke-63, namun percubaan derasnya dari luar kotak penalti berjaya ditepis keluar oleh Syazani.
Seminit kemudian, Hafiz Ramdan akhirnya berjaya meledakkan gol buat pasukan pelawat hasil sentuhan di depan gawang selepas menerima hantaran silang daripada Deevan Raj.
Tiada benteng pertahanan yang dilihat mengawalnya dan mudah baginya untuk menewaskan Ilham Amirullah. Ini adalah gol ke-4 peribadinya, kedua terbanyak buat PKNP.
Minit ke-75, tandukkan Franklin Anzite menggegar tiang gol tuan rumah. Ia adalah hasil hantaran kemas jarak jauh daripada kapten, Hafiz Ramdan ke kawasan gol lawan.
Hasil lambungan Velez ke dalam kawasan gol pelawat gagal disudahkan dengan gol apabila tandukkan penyerang, Angel Guirado tersasar di minit ke-77.
Minit ke-79, akhirnya Velez berjaya menjaringkan gol penyamaan untuk tuan rumah, hasil kesilapan pertahanan pelawat yang terlepas bola di kawasan gol mereka.
Velez memanfaatkan sedikit ruang dan peluang buatnya itu dan pemain berjersi nombor 10 itu berjaya meledak gol ke-6 peribadinya dalam saingan liga setakat ini.
Kim Sang Woo berjaya menewaskan Ilham Amirullah buat kali kedua di minit ke-84 selepas pertahanan tuan rumah gagal mengeluarkan bola dengan kemas dari kawasan gol.
Itu merupakan gol kedua peribadinya di saingan liga dalam 8 penampilannya sehingga kini. PKNP berjaya bangkit semula selepas diikat oleh tuan rumah.
Perlawanan tamat dengan PKNP berjaya menidakkan kemenangan buat tuan rumah yang sedang bergelut dengan keputusan 2-1. Tiga mata berharga buat pasukan pelawat.
PKNP juga berjaya merekodkan kemenangan kedua di laman lawan dalam saingan liga musim ini. Kali terakhir adalah ketika PKNP menang ke atas Kelantan pada Mei lalu.