Negeri Sembilan tampaknya semakin bersedia kini untuk mengharungi aksi pertama Liga Super musim 2024/2025 dengan perlawanan sulung mereka menentang kelab gergasi, Johor Darul Ta’zim (JDT).
Atas kertas, pastinya skuad kendalian Hector Bidoglio menjadi pilihan utama kerana mempunyai reputasi lebih tinggi jika dibandingkan oleh pasukan pelawat.
Apatah lagi JDT bakal beraksi di halaman sendiri bersama sorakan padu penyokong mereka yang dianggap sangat hebat di Malaysia kini.
Walaupun begitu, pengendali mereka iaitu Azzmi Aziz tampil optimis mengenai persiapan dibuat beliau untuk mengharungi aksi sulung itu di Johor.
Menurut Azzmi, beliau kini sudah pun mempunyai bayangan kesebelasan utama untuk tampil berdepan cabaran hebat JDT dengan barisan pemain terbaik akan digunakannya bagi perlawanan tersebut.
Selain itu, berpengalaman itu juga tidak menafikan kualiti dimiliki skuad Harimau Selatan dan menganggap ia sebagai tugas sukar untuk dihadapi.
“Walaupun setakat ini kita belum menyaksikan persembahan JDT musim ini tapi kita tahu mereka ada kekuatan yang sangat bagus dari setiap sudut termasuk barisan pemain yang menganggotai skuad itu.
“Untuk itu, kita perlu lihat balik apa yang ada (kekuatan) dalam skuad kita dan perlu buat persiapan lebih rapi supaya pasukan boleh memberikan aksi terbaik tentangan sengit terhadap lawan.
“Secara peribadi, saya suka dengan cabaran pertama ini dan tetap optimis dengan kemampuan pasukan untuk memberikan cabaran terhadap JDT, walaupun barisan pemain yang kita ada tidak sehebat pasukan lain terutama JDT itu sendiri,” kata Azzmi menerusi laporan dikeluarkan Harian Metro.
Pada masa sama, Azzmi menganggap sumber kewangan terhad pasukan tersebut bukan suatu alasan untuk dirinya untuk membuat perancangan lebih baik bagi mendapatkan keputusan positif.
“Kita tidak akan jadikan alasan soal kekurangan dengan pasukan lain dan sebagainya untuk tidak bermain dengan baik kerana fokus kita amat positif dengan apa yang kita sasarkan musim ini.
“Hakikatnya, pasukan sudah bersedia untuk memulakan saingan dan yakin dengan persiapan yang telah kita buat serta kekuatan yang ada dalam misi memburu pencapaian yang lebih baik musim ini,” kata beliau lagi.
Antara pemain tumpuan Negeri Sembilan untuk aksi berdepan JDT nanti pastinya terarah kepada penyerang import berbisa, Mika Junco, Takumi Sasaki, Hein Htet Aung, dan lain-lain.