Negeri Sembilan bakal menghadapi aksi getir pada hari ini bagi saingan terakhir Liga Super 2023 dengan mempertemukan pasukan tersebut menentang Kuching City.
Musim ini boleh dikatakan Negeri Sembilan menghadapi fasa sedikit suram dalam arena bola sepak tanah air, selepas mereka tampil begitu cemerlang pada tahun lalu.
Hadir dengan isu konsistensi permainan pada awal musim, Negeri Sembilan juga turut tidak terlepas dengan isu tunggakan gaji yang turut merencatkan konsistensi permainan mereka di atas padang.
Walaupun begitu, prestasi semasa skuad kendalian K. Devan sangat positif sejak dua perlawanan lalu selepas mereka memperoleh kemenangan bersih mengatasi PDRM dan Kelantan United.
Untuk aksi terakhir malam ini, skuad Hoben Jang Hoben hanya akan mempertaruhkan para pemain tempatan di laman sendiri untuk berdepan cabaran Kuching City.
Menurut Devan, beliau hanya mampu untuk mengesahkan situasi dialami mereka tanpa mahu menjelaskan secara terperinci kenapa tiada pemain import bakal beraksi hari ini.
“Kita (NSFC) tidak dapat menurunkan barisan kesebelasan seperti biasa pada perlawanan menentang Kuching City kerana pemain import tidak diturunkan pada pertembungan itu, malam esok.
“Kita hanya akan mempertaruhkan sepenuhnya tenaga tempatan, namun persiapan pasukan berjalan lancar dan situasi itu tidak boleh dijadikan alasan oleh pemain untuk tidak beraksi cemerlang.
“Saya mengharapkan pemain dapat tingkatkan prestasi masing-masing dan gunakan peluang serta kelebihan beraksi di laman sendiri untuk pastikan kemenangan milik Negeri Sembilan,” kata Devan menerusi Berita Harian.
Pada masa sama, beliau juga mahu momentum kemenangan mereka diteruskan pada aksi terakhir ini dengan persembahan terbaik perlu dipamerkan oleh para pemain untuk berdepan cabaran pelawat.
“Seperti saya tegaskan, pasukan perlu mengekalkan rentak kemenangan pada aksi terakhir liga ini kerana ia bukan sahaja untuk memastikan kedudukan pasukan di tangga kesembilan liga kekal, malah impaknya juga kepada pemain itu sendiri dalam persiapan menghadapi kempen musim depan.
“Walaupun beraksi tanpa pemain import, pemain tempatan yang akan dipilih nanti perlu menunjukkan komitmen lebih 100 peratus sepanjang tempoh permainan dengan pastikan tiga mata itu milik kita,” kata jurulatih tersebut akhir sekali.