Skuad Negeri Sembilan tekad mempamerkan kebangkitan pada musim ini dan menyasarkan untuk kembali beraksi di Liga Super tahun depan, selepas tersingkir ke Liga Premier musim lepas.
Pengurus pasukan, Mohd Khairollah Abd Latif berkata dalam Berita Harian, skuad Hobin Jang Hobin itu sudah membuat persiapan rapi dan yakin akan meraih kedudukan dua teratas Liga Premier pada musim ini.
“Kita yakin dan percaya pemain muda kita ada semangat juang dan matang untuk capai sasaran kedudukan dua teratas Liga Perdana. Bagi saingan lain seperti Piala FA dan Piala Malaysia, kita berharap pasukan akan dapat keputusan positif.
“Daripada segi pemain, kita sudah mengikat kontrak 21 pemain tempatan dan tiga pemain import, kini sedang menguji dua pemain dari Nigeria untuk melengkapkan pendaftaran pemain,” katanya.
Kelmarin, Persatuan Boalsepak Negeri Sembilan (PBNS) mengumumkan jenama sukan dari United Kingdom, Rhino Southeast Asia (Rhino SEA) sebagai penaja jersi pasukan itu mulai musim ini.
Jersi rasmi pasukan tersebut akan dilancarkan pada 27 Januari ini bertempat di Mydin Seremban 2.
Korang semua dah ready belum nak tengok jersi baru Skuad Jang?#PBNSxRHINO nak ajak korang sama-sama raikan acara bersejarah ni dengan kami di Mydin Seremban 2. Tak sabar nak chant sama-sama dengan jang-jang semua nanti! #HobinJangHobin pic.twitter.com/FYmzspqPGM
— EV 🇲🇾 (@evdotco) January 24, 2019
Meskipun dibarisi oleh ramai pemain muda, mereka turut diperkuatkan oleh tiga pemain import iaitu pemain tengah, Shunsuke Nakatake dari Jepun, serta dua pemain dari Brazil, Matheus Vila (bek tengah) dan Almir Neto yang boleh beraksi di bahagian sayap dan serangan.
Kapten pasukan, Norhafiz Zamani Misbah bertekad untuk membawa balik kegemilangan pasukan Negeri Sembilan yang dulu digeruni lawan dan pernah menjuarai Piala Malaysia sebanyak tiga kali.
“Saya bersyukur dan gembira untuk kembali bersama pasukan yang saya mulakan karier saya sebagai pemain profesional.
“Dengan nafas dan pengurusan baharu serta jurulatih berpengalaman seperti Mohd Zan dan hampir 80 peratus pemain muda, kita mampu mengembalikan kegemilangan Negeri Sembilan seperti era kami dulu,” katanya.