Negeri Sembilan bakal menghadapi aksi sulung mereka pada musim ini dalam saingan Liga Super 2024/2025 dengan berdepan cabaran getir di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) untuk menentang Johor Darul Ta’zim (JDT).
Atas kertas, segalanya berpihak kepada JDT menerusi kualiti permainan, falsafah permainan, serta kelebihan beraksi di laman sendiri jika dibandingkan oleh Negeri Sembilan.
Malah empat kali pertemuan membabitkan kedua pasukan itu musim lalu jelas memihak kepada JDT apabila mereka meraih semua kemenangan bersih termasuk satu aksi di mana Negeri Sembilan tewas teruk 0-7 di laman sendiri.
Walaupun begitu, segalanya tampil berbeza musim ini dengan ada beberapa rombakan dibuat skuad Hoben Jang Hoben dan membabitkan kejurulatihan serta para pemain.
Paling mencuri tumpuan, pastinya terarah kepada jurulatih baharu mereka iaitu Azzmi Aziz yang telah membawa reputasi cukup positif bersama PDRM tahun lalu sebelum beliau berpisah dengan pasukan tersebut menjelang pertengahan musim.
Kelebihan Azzmi bersama PDRM untuk mencipta kejutan dalam permainan jelas menjadi perhatian ramai pemerhati bola sepak tempatan musim lalu termasuk episod menewaskan Kedah Darul Aman (Kedah) serta Selangor.
Apatah lagi musim ini menyaksikan beliau turut mempunyai barisan pemain lebih berpengalaman serta dikuatkan oleh beberapa tonggak import bersama reputasi lalu cukup baik.
Selvan Anbualagan, Dzulfahmi Hadi, Barathkumar, dan Hadin Azman antara pemain tempatan yang memiliki kualiti untuk mengukuhkan Negeri Sembilan musim ini.
Terarah kepada import, pastinya nama Takumi Sasaki antara bakal diberi tumpuan hari ini kerana reputasi beliau cukup baik pada saingan pramusim lalu.
Malah, mereka turut diperkuatkan oleh bekas penjaring terbanyak Finland iaitu Mika Junco yang pastinya akan menjadi pertaruhan utama Azzmi untuk menggempur pertahanan lawan.
Nama pemain pinjaman Selangor, Hein Htet Aung dan Jacque Faye juga dijangka bakal memainkan peranan penting pada aksi petang ini untuk penguasaan bola serta kreativiti mendapatkan jaringan.
Adakah kejutan mampu dilakar Negeri Sembilan?
Sekiranya semua percaturan direncanakan oleh Azzmi mampu dijalankan oleh para pemain dengan baik, segalanya boleh menjadi kenyataan dengan satu mata dilihat lebih realistik buat Negeri Sembilan.
Namun, segalanya akan menjadi sia-sia jika para pemain tampil gugup dan lambat menyesuaikan diri atas padang sehingga lawan tidak menghadapi masalah untuk menepati ramalan ramai pemerhati bola sepak bagi meraih kemenangan.