Menjelang sambungan aksi Liga Super 2017 yang bakal bermula selepas cuti Hari Raya nanti, penyokong JDT bakal menyaksikan seorang jeneral tengah baru dari Sepanyol dalam pasukan mereka.
Dan penyokong-penyokong Harimau Malaya juga turut bakal mendapat faedah sama kerana pemain Sepanyol tersebut bakal dinaturalisasikan sebagai pemain Malaysia.
Pemain yang kami maksudkan adalah Natxo Insa (sebutannya Na-cho).
Meskipun berita kemasukan Natxo ke JDT bukan rahsia lagi – terutamanya selepas Tengku Mahkota Johor (TMJ) memberi petunjuk seawal Februari 2017 lepas – ini adalah kali pertama media Sepanyol mengesahkan kedua-dua pihak (JDT dan Levante) telah mencapai persetujuan.
Menurut El Desmarque, JDT dan Levante telah bersetuju dengan yuran perpindahan sebanyak hampir setengah juta euros dan kontrak selama 2 tahun.
Angka itu konsisten dengan laporan Football Tribe Malaysia pada 3 hari lepas yang memberitahu yuran perpindahan Natxo mencecah €400,000.
Natxo yang mempunyai baki kontrak setahun bersama Levante merupakan tonggak penting pasukannya yang berjaya dipromosi ke saingan La Liga pada musim 2017/2018.
Profil Natxo Insa
Nama sebenar: Ignacio Insa Bohigues
Umur: 30 tahun (9 Jun 1986)
Ketinggian: 1.77m
Kelab-kelab terdahulu: Valencia, Villareal, Celta Vigo, Real Zaragoza.
Kelab sekarang: Levante UD
Posisi: pemain tengah
Apakah peranan Natxo dalam JDT?
Sejak ketiadaan Hariss Harun yang dipinjamkan ke kelab S-League, Home United (selepas kegagalan kelab divisyen ke-3 Sepanyol, Ce L’Hospitalet membuat pendaftaran pemain), JDT bergelut untuk mencari pengganti yang berkualiti sepertinya.
Pada awal musim Liga Super 2017, Benjamin Mora mencuba Amirulhadi Zainal di posisi Hariss sebagai pemain no.6. Bagaimanapun ia kemudiannya menjadi eksperimen gagal.
Kemudian Mora mencuba Afiq Fazail pula di posisi tersebut. Persembahan Afiq di posisi tersebut lebih baik berbanding Amirulhadi yang lebih berpengalaman, tetapi beliau masih berhadapan dengan isu konsistensi.
Dengan adanya Natxo Insa, kami menjangkakan beliau bakal terus menjadi pemain no.6 utama JDT.
Dengan kualiti yang dimiliki bekas pemain Valencia ini, JDT boleh bermain bola sepak corak menyerang seperti yang dimahukan TMJ tanpa perlu risaukan sekuriti di bahagian pertahanan.
Malah skuad kebangsaan juga bakal mendapat manfaat sama jika benar Natxo akan diberi kerakyatan Malaysia dan sanggup melepaskan passport Sepanyol yang dimiliki beliau.