Saat semua pasukan yang bersaing dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M) sedang rancak mempersiapkan diri untuk persaingan akan datang, ada pasukan kini ditimpa dengan dugaan tidak dijangka.
Petaling Jaya City (PJ City) dikhabarkan persiapan mereka kini sedikit terganggu setelah pemain tonggak tengah pasukan tersebut iaitu Mohd Nasir Basharudin dikhabarkan mengalami kecederaan.
Nasir Basharudin joins PJ City FC. The club welcomes the hardworking, skillful and committed defensive midfielder. His recruitment certainly gives us a major booster in the middle. 😊 pic.twitter.com/tZEjGC2kuG
— PJ City FC (@pjcityfc) January 17, 2022
Menurut pengurus pasukan PJ City iaitu K. Rajendran, beliau mengesahkan khidmat pemain tengah berkaliber itu terpaksa diketepikan seketika setelah Nasir mengalami kecederaan ligamen anterior cruciate (ACL) yang amat ditakuti oleh setiap pemain bola sepak kerana mengambil masa panjang untuk kembali pulih.
“Kita terpaksa terima hakikat tidak dapat menggunakan khidmat pemain tengah berpengalaman, Nasir (Basharudin) dalam beberapa perlawanan akan datang kerana dia mengalami kecederaan pada lutut (ACL) yang serius.
“Nasir tidak akan dapat diturunkan bermula pada perlawanan menentang Penang FC di Stadium Bandaraya, Sabtu ini.
“Oleh itu, kita perlu buat penyusunan semula dalam memastikan kekuatan pasukan terutama di bahagian tengah tidak terjejas dengan ketiadaan pemain terbabit,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.
Walaupun begitu, pengurus pasukan tersebut mengakui sedikit lega setelah pemain berpengalaman mereka iaitu K. Gurusamy sudah kembali bersama pasukan untuk berlatih setelah mengalami kecederaan pada bulan April lalu.
“Gurusamy sudah kembali berlatih dan dijangka boleh diturunkan dalam perlawanan akan datang terutama menentang Penang, namun ia bergantung kepada perancangan dan strategi ketua jurulatih, P Maniam.
“Dengan kehadiran semula Gurusamy dalam pasukan, ia dijangka akan dapat memperkuatkan semula jentera tengah dan serangan yang membabitkan gandingan pemain seperti S Kumaahran, Mahali Jasuli dan Khyril Muhymeen Zambri,” katanya.
Setakat ini persiapan PJ City dilihat ada impak positif dalam permainan setelah mencatat keputusan yang bagus untuk dikaji dengan lebih teliti oleh staf kejurulatihan sebelum saingan liga kembali berlangsung.
Mereka juga turut membuat beberapa siri perlawanan persahabatan termasuk bertemu kelab dari Kemboja iaitu Preah Khan Capai Svay Rieng FC dan merekodkan keputusan tewas 0-1 di tangan pasukan tersebut.
Full time score:
PJ City FC 0-1 Preah Khan Reach Svay Rieng FC#YakiniLokal #ThePhoenix #QNET pic.twitter.com/pWIlQh36LV
— PJ City FC (@pjcityfc) June 10, 2022
Rajendran juga berharap agar pasukan dapar kembali mempamerkan aksi lebih baik setelah liga kembali bersambung untuk memberi cabaran sengit buat mana-mana lawan dihadapi mereka sekali gus mencabar kedudukan dalam carta Liga Super 2022.
“Kita sedar pasukan tidak boleh lagi kehilangan mata jika mahu terus bersaing dan meraih pencapaian terbaik musim ini. Saya berharap pasukan dapat pamerkan kebangkitan dengan catatan kemenangan terutama ketika menentang Penang nanti.
“Pun begitu mereka diingatkan berhati-hati dengan pasukan lawan berkenaan yang kini mendapat ketua jurulatih baharu, Zainal Abidin Hassan,” katanya yang turut mengesahkan tiada kemasukan pemain baharu dalam pasukan itu ketika sesi perpindahan.