Piala Malaysia: Jaringan Tunggal Nasir Basharudin Bantu Perak Atasi KL

Perak berjaya menewaskan Kuala Lumpur 1-0 dalam aksi ke-4 Kumpulan A, unifi Piala Malaysia 2018 di Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan, sebentar tadi.

Ia merupakan kemenangan kedua berturut-turut buat The Bos Gaurus selepas merekodkan kemenangan pertama menentang lawan yang sama di Stadium Cheras, Kuala Lumpur.

Tuan rumah, Perak turun dengan barisan pemain yang sama ketika menang ke atas Kuala Lumpur tempohari dengan Gilmar dan Wander Luiz jadi taruhan di jentera hadapan.

Kuala Lumpur pula membuat sedikit rombakan di benteng yang bolos 2 gol tempohari dengan Hafiz Johar, Achmad Jufriyanto dan Azmeer Yusof tiada dalam kesebelasan utama.

15 minit pertama melihatkan penguasaan seimbang dengan kedua-dua pasukan saling bertukar-tukar serangan. Namun, tiada penyudah yang berkesan dari kedua-dua pasukan.

Kapten Perak, Nasir Basharudin akhirnya mengejutkan pasukan pelawat dengan gol pembukaan pada minit ke-19 selepas bertukar-tukar hantaran bersama-sama Gilmar.

Ia merupakan gol pertama Nasir dalam saingan Piala Malaysia musim ini selepas 3 penampilan. Ini juga pertama kali Perak mendahului awal perlawanan selepas 3 perlawanan.

Perak tampak lebih mengancam dengan asakan yang dijana dari bahagian sayap kanan dan kiri. Walaubagaimanapun, selepas 30 minit, pelawat dilihat mula mengasak tuan rumah.

Minit ke-34, pemain tengah, Paulo Josue berjaya melepaskan rembatan ke gawang Perak namun, Hafizul Hakim berjaya menepis percubaan tepat pertama Kuala Lumpur itu.

Pertahanan Perak yang ditunjangi Shahrul Saad dan Idris Ahmad dilihat merantai ketat penjaring terbanyak The Hawks, Guilherme de Paula dan pemain itu jelas tenggelam di babak pertama.

Perak meneruskan penguasaan babak pertama dengan beberapa siri asakan awal ke kubu Kuala Lumpur di babak kedua. Namun, jentera serangan The Bos Gaurus tampak tumpul.

Penjaga gawang Kuala Lumpur, Sharbinee Allawee dipaksa melakukan aksi menyelamat selepas Perak berjaya memecah masuk ke kawasan gol pelawat di minit ke-51.

Penyerang muda Kuala Lumpur yang pertama kali beraksi dalam kesebelasan utama, Afiq Razali berjaya melepaskan rembatan, namun diselamatkan oleh Hafizul Hakim di minit ke-64.

Walaupun pelawat bergelut untuk menyerang, tuan rumah pula dilihat gagal memanfaatkan deretan peluang yang dimiliki. The Bos Gaurus sepatutnya sudah berhasil meledak beberapa gol.

Peluang terhidang buat Gilmar di penghujung perlawanan di hadapan gol pasukan pelawat disia-siakannya. Ia susulan rembatan deras Nasir Basharudin yang ditepis Sharbinee Allawee.

The Hawks yang dilihat tenggelam hampir sepanjang perlawanan akhirnya sah tumbang 0-1 kepada Perak apabila pengadil perlawanan, Fithri Maskon meniupkan wisel penamat.

Perak mengukuhkan kedudukan kedua di Kumpulan A dengan 7 mata, dipisahkan 3 mata dengan pendahulu, Terengganu FC. Kuala Lumpur kekal di kedudukan ke-3 dengan 3 mata.

Perak: Hafizul Hakim, Shahrul Saad, Idris Ahmad, Nazirul Naim Che Hashim (75′ Rafiuddin Roddin), Amirul Azhan Aznan, Nasir Basharudin (K), Leandro Dos Santos, Brendan Gan, Nor Hakim Hassan, Gilmar, Wander Luiz (85′ Nazrin Nawi)

Kuala Lumpur: Sharbinee Allawee, Zaiful Hakim (80′ Tan Yun Hong), Hisyamudin Sha’ari, Bobirjon Akbarov, Farid Ramli, Paulo Josue, Azman Chuchu (63′ Achmad Jufriyanto), Zaquan Adha, Indra Putra Mahayuddin (K), Afiq Razali (85′ Hardee Samsuri), Guilherme de Paula

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN