Pemain tengah yang dibawa masuk Terengganu FC (TFC) pada musim ini, Mohamad Nasir Basharudin kelihatan sudah mula mencuri hati para penyokong dengan aksi memberangsangkan ditampilkannya.
Susulan satu muatnaik gambar Nasir di laman Facebook rasmi Terengganu FC, rata-rata penyokong amat berpuas hati dengan persembahan pemain berusia 29 tahun itu dalam aksi pra-musim yang dilalui pada ketika ini.
Ada yang beranggapan Nasir merupakan pembelian yang berbaloi buat TFC pada musim ini dan tidak kurang juga yang memuji peranan baik dimainkan oleh beliau selaku pemain tengah bertahan.
Nasir yang sebelum ini berbakti selama sembilan musim bersama Perak dan turut diberikan tugasan kapten, memilih untuk berkelana ke Pantai Timur sebagai cabaran baharu buatnya selepas khidmat beliau tidak lagi diperlukan negeri kelahirannya itu.
Di samping itu pengendali Terengganu FC, Nafuzi Zain juga tidak berselindung apabila memuji prestasi pemain-pemain baharunya seperti Nasir, Faris Ramli dan D. Saarvindran.
“Saya juga berpuas hati dengan Nasir [Basharudin] kerana dia seorang yang bekerja keras,” ujar Nafuzi dalam laporan sebelum ini.
Meskipun masih terlalu awal buat Nasir Basharudin, tetapi pujian yang diberikan para peminat setia TFC itu mampu untuk memberikan tonik berguna buat beliau untuk mengekalkan prestasi baik sepanjang musim ini.
Kredit foto: Terengganu FC