Piala Meizhou Hakka Dibatalkan, Kenapa FAS Masih Perlu Bayar Ganti Rugi?

Kejohanan Piala Meizhou Hakka yang dijadualkan berlangsung bermula pada 24 Januari sehingga hari ini telah pun dibatalkan oleh pihak penganjur ekoran isu penularan wabak Virus Corona di China yang semakin membimbangkan.

Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) sebelum ini telah memutuskan untuk menarik diri lebih awal selepas mendapat khidmat nasihat beberapa pihak bagi memastikan keselamatan pemain dan pegawai pasukan itu terjamin.

Namun demikian, The Red Giants dilaporkan perlu membayar pampasan yang dilaporkan berjumlah RM300,000 kepada pihak penganjur melibatkan perbelanjaan penerbangan, penginapan dan jualan tiket.

 

Memetik laporan Berita Harian, Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dikatakan tetap ‘dipaksa’ untuk membayar ganti rugi oleh pihak penganjur, namun berkemungkinan akan diberi ‘diskaun’.

“Kejohanan itu memang batal, tapi mereka kata kena bayar. Cuma kita belum dimaklumkan berapa yang perlu dibayar dan mungkin ada pengurangan.

“Mungkin jumlahnya dikurangkan 50 peratus, tapi ia masih dalam rundingan. Jika dapat dikurangkan sudah pasti akan melegakan pihak kami,” katanya.

Persoalannya, adakah wajar Selangor tetap perlu membayar pampasan tersebut sekalipun penganjur sendiri telah membuat keputusan untuk membatalkan kejohanan berkenaan?

FAS sewajarnya lebih tegas mengenai hal ini dan perlu berunding lagi dengan pihak penganjur untuk tidak membayar walau satu sen pun kerana pertandingan tersebut telah pun dibatalkan dan jika perlu, dapatkan khidmat nasihat perundangan dari pihak tertentu mengenainya.

Dua pasukan lain iaitu kelab Thailand, Chonburi FC dan kelab Korea Selatan, Sangju Sangmu yang telah pun tiba di China, akhirnya terpaksa pulang ke negara masing-masing tanpa beraksi walaupun satu perlawanan. Ini bermakna, Selangor telah pun membuat keputusan yang betul lebih awal.

Dalam pada itu, Dr. Johan juga memaklumkan dengan keadaan semasa, persiapan pra-musim Selangor akan diteruskan tetapi dengan mengadakan perlawanan persahabatan hanya di dalam negara sahaja.

“Bajet kita sudah berubah kerana perlu membayar pampasan kepada penganjur dan buat masa ini kita tiada perancangan untuk ke luar negara kecuali ada jemputan lain yang tidak memerlukan perbelanjaan besar.”

Leave a Reply