Gabriel Heinze adalah satu nama yang sudah lama tidak kedengaran selepas beliau mengumumkan persaraannya pada tahun 2014 ketika menyarung jersi Newell’s Old Boys.
Beliau yang beraksi di posisi pertahanan kiri mula mencuri tumpuan ketika menyarung jersi Manchester United pada musim 2004/05 dan kemudian memilih untuk berhijrah ke Real Madrid selepas tiga musim menabur bakti bersama The Red Devils.
Mungkin ada juga yang tidak mengetahui bahawa beliau kini merupakan pengurus bagi pasukan Superliga Argentina, Velez Sarsfield. Kelab bimbingannya berjaya menduduki tempat ketiga dalam saingan liga pada musim ini selepas menamatkan kempen dengan mengumpul 39 mata.
Karisma beliau sebagai seorang pengurus semakin terserlah selepas videonya memberikan kata-kata semangat dan nasihat kepada pemain skuad remaja Velez Sarsfield tular di media sosial.
Heinze yang meluangkan masa bagi menonton perlawanan pasukan remaja Velez Sarsfield yang menyaksikan kelab tersebut berjaya menumpaskan seteru rapat mereka, Chicarita Juniors.
Selepas tamat permainan. terdapat seorang pemain Chicarita Juniors yang menangis, mungkin kerana pasukannya gagal untuk menang pada perlawanan tersebut. Heinze yang pergi ke arah kanak-kanak itu memberikan nasihat yang sangat memberikan inspirasi buat semua.
I loved this. Gabriel Heinze was Velez’s manager, and he went to see a game played by Velez’s youth against Chacarita.
— Juani Jimena (@JimenaJuani) April 4, 2020
Velez won the game.
After the game, Heinze saw some children crying from the rival team, Chacarita, and he came to advise them.#football pic.twitter.com/htaNSPMsRM
”Mereka (rakan sepasukan kanak-kanak itu) telah memberitahu keadaan sebenar kepada saya. Apa yang perlu kamu perlu lakukan?”
”Berhenti menangis. Kamu tahu berapa kali saya tewas pada perlawanan akhir? Sangat banyak.”
”Saya juga beraksi. Saya menang. Sesuatu perlawanan memang berkenaan menang atau kalah,” jelas Heinze kepada kanak-kanak itu.
”Adakah kamu mendengar apa diperkatakan oleh saya, teman? Jangan risau, esok masih ada perlawanan ulangan, dalam bola sepak sentiasa akan ada perlawanan ulangan. Kita mesti teruskannya, kita mesti teruskan.”
”Kamu masih kanak-kanak, berhenti menangis. Menangislah apabila kamu sudah membesar, bukannya sekarang ini.”
”Sekarang kamu perlu menikmati keseronokan, menjadi rakan sepasukan yang baik. Soal menang atau kalah tidak penting.”
Begitulah hebatnya aura seorang pengurus yang tidak lokek ilmu untuk mencurahkan sesuatu kepada bakat baharu bola sepak. Mana tahu kanak-kanak itu akan menjadi legenda bola sepak pada satu hari nanti.
Kredit foto: Amilcar Orfali/Getty Images