Futsal Thailand sememangnya begitu dekat dengan peminat sukan lima sebelah ini di Malaysia kerana kualiti hebat yang dimiliki negara gajah perang itu.
Selain itu, kedudukan geografinya begitu hampir dengan kita membuatkan kehebatan bintang-bintang futsal Thailand seringkali menjadi bualan peminat di tanah air yang benar-benar mengikuti perkembangan futsal.
Thailand turut mempunyai reputasi yang cukup gah di pentas Asia dan turut berpengalaman dalam saingan Piala Dunia Futsal.
Kira-kira tiga tahun lalu, penulis berkesempatan bertemu empat bintang Futsal Thailand dalam satu sesi ‘meet and greet’ yang diadakan di Petaling Jaya bersempena Sukan SEA 2017.
Empat pemain yang dimaksudkan ialah Suphawut Thueanklang, Kritsada Wongkaeo, Jirawat Sornwichian dan Muhammad Osman Musa.
Sehubungan dengan itu, keempat-empat pemain terbabit sempat memberikan nasihat yang cukup berguna yang boleh menjadi panduan atau motivasi buat para pemain futsal tanah air untuk mencapai tahap tertinggi dalam karier.
Kami kongsikan semula perkongsian dan nasihat daripada bintang-bintang Futsal Thailand ini:
1. ‘Meniru’ idola
Perkongsian pemain pivot berbakat besar yang kini menyarung jersi skuad Chonburi Bluewave, Muhammad Osman Musa adalah sangat berkait rapat dengan diri beliau. Hal ini kerana beliau menjadikan Suphawut sebagai idolanya sejak dari kecil.
“Saya menonton aksi dia (Suphawut) di kaca televisyen dan saya banyak belajar dari aksi yang ditampilkan olehnya.”
Dalam masa yang sama Osman juga menasihatkan supaya para pemain meletakkan kepercayaan pada diri sendiri untuk berjaya menjadi seperti idola mereka.
2. Perlu ada ‘passion’ yang tinggi
Bagi Suphawut dan Kritsada, beliau melihat setiap jalan yang dipilih (menjadi pemain futsal) perlulah dilakukan dengan minat yang mendalam dan mempunyai ‘passion’ yang tinggi terhadap futsal.
Lakukan pemantapan dalam setiap kekurangan yang dikenalpasti, berlatih dengan ‘passion’ anda pasti akan mengusahakan segala yang terbaik demi minat tersebut.
Hal ini dibuktikan walaupun sekiranya pemain Futsal Thailand mempunyai peluang untuk bermain bola sepak, tetapi mereka akan tetap memilih untuk kekal terhadap sukan ini atas dasar kecintaan pada futsal.
“Sayangi futsal terlebih dahulu, tingkatkan kualiti dan percaya pada diri anda,” nasihat yang diberikan oleh Kritsada.
3. Rehat secukupnya sebelum beraksi
Rehat yang mencukupi sangat penting bagi seseorang pemain untuk menghadapi satu-satu perlawanan.
Malam sebelum beraksi juga anda perlu memastikan supaya mendapat tidur yang secukupnya.
“Kosongkan minda dengan perkara yang tidak perlu dan saya akan mendengar muzik beberapa jam sebelum beraksi,” jelas Jirawat.
4. Banyakkan liga domestik yang kompetitif untuk lahirkan ramai pemain berkualiti
Suphawut beranggapan bahawa pihak bertanggungjawab perlu banyak menganjurkan kejohanan dan liga domestik kerana dari situ akan lahirnya bakat berkualiti.
Sebagai contoh, FA Thailand telah banyak melabur dalam perkembangan futsal di Thailand.
Keadaan itu yang membantu lahirnya banyak bakat baru Thailand yang boleh diketengahkan di peringkat yang lebih tinggi pada masa akan datang.
5. Fokus sasaran satu persatu
Untuk menjadi kuasa besar dalam futsal, anda (Malaysia) perlu kuasai dahulu saingan serantau di Asia Tenggara. Kemudian meningkat ke peringkat Asia dan seterusnya menakluki dunia.
Namun Suphawut melihat prestasi semasa yang diperagakan skuad negara semakin menunjukkan peningkatan sejak kebelakangan ini.
Jurang yang sebelum ini amat jauh kelihatan semakin dirapatkan oleh skuad futsal negara apabila mampu memberikan saingan cukup hebat dalam usaha menyaingi negara tangga ke-17 ranking dunia itu.