Ketika saingan beberapa liga utama dunia seperti di Liga Perdana Inggeris, Ligue 1 dan Bundesliga menyaksikan penguasaan pasukan di tangga teratas dengan begitu selesa mendahului pasukan lain, situasi itu belum kelihatan di Serie A.
Pendahulu liga, SSC Napoli hanya dipisahkan satu mata sahaja dengan juara bertahan yang juga merupakan juara 33 kali, Juventus.
Persaingan yang begitu sengit ketika ini apabila kedua-dua pasukan telah mencatatkan 21 kemenangan, namun hanya dibezakan dengan keputusan seri dan kekalahan.
Napoli mencatatkan tiga keputusan seri dan satu kalah manakala Juventus dengan dua seri dan mengalami dua kekalahan.
Pada perlawanan ke-25 liga, kedua-dua pasukan mencatatkan kemenangan tipis 1-0 bertemu lawan masing-masing.
Napoli (1) lawan SPAL 2013 (0)
Jaringan minit awal permainan dari pemain Brazil, Allan Marques Loureiro sudah cukup buat Napoli untuk terus berada di persada Serie A dengan 66 mata bagi menewaskan kelab yang sedang berada di zon penyingkiran itu.
Marek Hamsik berpeluang menambah jaringan kedua pada minit ke-64 menerusi tandukan hasil hantaran dari Allan, namun Video Assistant Referee (VAR) telah mengesan pemain antarabangsa Slovakia itu berada dalam keadaan ofsaid.
Perlawanan berlangsung di San Paolo yang merupakan gelanggang keramat buat Napoli.
Torino (0) lawan Juventus (1)
Seorang lagi pemain dari Brazil turut menjadi wira buat pasukan apabila Alex Sandro menjaringkan gol kemenangan buat Juventus pada minit ke-33 dalam kunjungan ke Stadio Olimpico Grande Torino.
Alex Sandro mudah menolak masuk hantaran yang dilakukan Federico Bernardeschi untuk memberikan tiga mata penting buat kelab Turin itu untuk terus menekan Napoli.
Pada perlawanan tersebut, Juventus kehilangan khidmat penyerang utama, Gonzalo Higuain seawal minit ke-15 dan Bernardeschi pada minit akhir permainan akibat kecederaan yang dialami mereka.
Higuain mengalami kecederaan buku lali kiri manakala Bernardeschi berdepan masalah kecederaan pada lutut kiri yang dilaporkan sedikit serius.